Ahad, 7 Julai 2019 | 7:04pm
Prabudass (kiri) mengatasi rekod separuh maraton kebangsaan selepas mencatat masa satu jam, tujuh minit dan 29 saat di Gold Coast Marathon, hari ini. - Arkib NSTP

Prabudass pecah rekod separuh maraton negara

KUALA LUMPUR: Pelari jarak jauh negara K Prabudass mengatasi rekod separuh maraton kebangsaan selepas mencatat masa satu jam, tujuh minit dan 29 saat di Gold Coast Marathon ke-41, hari ini.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan berumur 29 tahun itu, menduduki tempat ke-29 daripada 4,198 pelari dalam acara lelaki, manakala Jack Rayner dari negara tuan rumah memenangi perlumbaan sejauh 21 kilometer itu yang berlangsung di Gold Coast di Queensland, Australia dengan catatan 01:02:30 saat (s), menurut laman web rasmi kejohanan, www.goldcoastmarathon.com.au.

Kejayaan itu menyaksikan Lans Koperal Tentera Laut Diraja itu, memadamkan rekod kebangsaan 15 tahun lalu dengan catatan 1:07:59s yang dipegang bekas pelari negara, M Arul Thevar pada 4 Julai, 2004.

Prabudass kini mempunyai prospek yang baik untuk memenangi pingat emas bagi acara 5,000 meter pada Sukan SEA 2019 di Filipina pada Disember ini.

Untuk rekod, Prabudass, pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, melakukan catatan peribadi terbaiknya 14:33.10 s di siri kedua Kejohanan Olahraga Universiti Sains Nippon di Kenshidai, Jepun, pada Mei untuk menjadi rakyat Malaysia kedua terbaik dalam acara itu.

“Rasa gembira dan bangga…saya menjangka dapat membuat catatan peribadi terbaik tetapi cuaca tidak begitu baik pagi ini, hujan agak lebat tetapi saya masih mendapat rentak dan memecahkan rekod,” kata Prabudass.

“Buat masa ini, tiada rancangan untuk acara akan datang, mungkin pada September. Selepas ini saya akan kembali untuk pertandingan sebagai persediaan Sukan SEA yang merupakan acara kegemaran saya, dengan menumpukan pada 5,000m.

“Jalan berbeza daripada trek, kita tidak boleh membandingkan kedua-duanya tetapi prestasi ini tentunya memberikan saya semangat untuk menyiapkan diri bagi Sukan SEA.”.

Sementara itu, dalam acara maraton penuh (42km), seorang lagi pelari kebangsaan, Muhaizar Mohamad menduduki tempat ke-35 selepas mencatat 02:26:42s, manakala bekas pemegang rekod kebangsaan Jepun, Yuta Shitara, muncul juara dengan mencatatkan rekod perlumbaan baharu dengan catatan 2:7:50s, hampir seminit lebih pantas berbanding rekod sebelumnya yang dipegang pelari Kenya, Kenneth Mungara pada tahun 2015.

Muhaizar menjadi warga Malaysia pertama memenangi pingat Sukan SEA dalam acara maraton selepas memenangi gangsa semasa edisi Kuala Lumpur 2017. - BERNAMA

Berita Harian X