Rabu, 10 Julai 2019 | 11:58pm
Pelari pecut negara, Jonathan Nyepa digesa memberi tumpuan kepada acara 4x100 meter (m). - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Jonathan digesa fokus 4x100m

KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara Jonathan Nyepa digesa memberi tumpuan kepada acara 4x100 meter (m), selepas masalah teknikal membelenggunya di pusingan separuh akhir 100m Sukan Universiti Dunia (Universiade), Napoli, Itali, awal pagi tadi.

Saingan acara pecut 100m peringkat separuh akhir lelaki di Napoli hanya bermula selepas tiga kali terpaksa dibatalkan gara-gara mengalami masalah teknikal.

Jurulatih pasukan olahraga negara di Sukan Universiti Dunia, Nazmizan Muhammad menjelaskan, ekoran masalah itu semua pelari dikenakan kad hijau sekali gus merencatkan fokus atlet.

"Bagi saya layak ke separuh akhir 100m sudah baik untuk dia. Jadi saya harap Jonathan dapat memberikan tumpuan untuk kuartet 4x100m dan mencatatkan larian lebih pantas," kata Nazmizan yang kini menggalas tanggungjawab selaku Timbalan Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

"Tiga kali berlaku masalah teknikal ketika aksi separuh akhir 100m sebelum larian dapat dilakukan dengan sempurna. Saya harap Jonathan tidak terus terganggu selepas ini.”

Nazmizan yang juga bekas Raja Pecut Asia Tenggara berkata Jonathan akan bergandingan bersama Khairul Hafiz Jantan, Russel Alexander Nasir Taib dan Muhammad Aqil Yasmin dalam acara 4x100m yang dijadualkan pada Jumaat.

Terdahulu, pada aksi separuh akhir awal pagi tadi, atlet berusia 23 tahun itu merakamkan masa 10.59s sekali gus menamatkan saingan di tempat keenam.

"Saya berpuas hati sebab boleh sampai ke separuh akhir. Apa pun syukurlah walaupun tadi (awal pagi tadi) banyak false start," kata Jonathan.

Berita Harian X