Khamis, 11 Julai 2019 | 9:04pm
SETIAUSAHA Agung MOM, Datuk Mohd Nafizuddin Mohd Najib. NSTP/Owee Ah Chun.

MOM minta beri penjelasan isu atlet negara di Napoli

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggesa pegawai bertanggungjawab di Kementerian Pendidikan memberikan penjelasan berhubung kegagalan tiga atlet olahraga negara beraksi pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Itali, kelmarin.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nafizuddin Mohd Najib berkata beliau sendiri terkejut apabila mendapat tahu mengenai perkara berkenaan kerana kes seumpama itu tidak pernah terjadi sebelum ini.

"Pegawai bertanggungjawab perlu memberikan penjelaskan apa sebenarnya berlaku. Dalam kes ini, boleh jadi kecuaian atau masalah teknikal dalam komunikasi emel atau sistem penyertaan. Punca masalah harus dikesan dengan betul," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Hari ini media melaporkan tiga atlet negara yang menyertai temasya Universiade di Napoli gagal menyertai acara masing-masing selepas gagal mengesahkan penyertaan 24 jam sebelum kejohanan berlangsung walaupun nama mereka sudah dihantar lebih awal.

Atlet malang terbabit adalah pelari acara 200 meter (m), Russel Alexander Nasir Taib dan Muhammad Aqil Yasmin serta R Kirthana (lompat kijang).

Mohd Nafizuddin bagaimanapun enggan menyalahkan atlet kerana tumpuan mereka adalah memperoleh pencapaian yang baik di kejohanan berkenaan.

"Saya harap kementerian dan persatuan teliti semula di mana ada kekurangan dan penambahbaikan agar perkara ini tidak berlaku pada masa akan datang. Bagi pihak MOM kami sedia membantu jika memerlukan apa-apa bantuan," katanya.

Berita Harian X