Jumaat, 12 Julai 2019 | 9:14pm
KUARTET 4X100 meter negara, Khairul Hafiz Jantan.

Kuartet 4X100m negara di Napoli mengecewakan

KUALA LUMPUR: Kontijen negara yang bersaing di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Napoli, Itali terus dihimpit kecewa apabila kuartet 4X100 meter (m) gagal melepasi peringkat saringan hari ini sekali gus memusnahkan impian beraksi di final.

Kuartet yang dibarisi Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan dua pelari yang gagal bertanding dalam 200m sebelum ini, Muhammad Aqil Yasmin dan Russel Alexander Nasir Taib sekadar merakam masa 40.28 saat untuk berada di tempat kesembilan terpantas.

Keputusan itu bagaimanapun masih menggembirakan Nazmizan Muhammad yang menyifatkan anak buahnya itu boleh disifatkan sebagai lulus ujian awal.

"Saya tidak nampak sebarang masalah termasuk daripada aspek pertukaran baton. Tetapi saya rasa jika mereka ada lebih banyak masa berlatih bersama, kita mungkin mampu ke final. Apa pun saya berpuas hati kerana mereka baharu saja digandingkan," katanya.

Sebelum ini Muhammad Aqil, Russel dan R Kirthana (lompat kijang) gagal menyertai acara masing-masing selepas tidak mengesahkan penyertaan 24 jam sebelum kejohanan berlangsung walaupun nama mereka sudah dihantar lebih awal.

Rentetan itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggesa pegawai bertanggungjawab di Kementerian Pendidikan memberikan penjelasan berhubung kegagalan itu.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nafizuddin Mohd Najib berkata beliau sendiri terkejut apabila mendapat tahu mengenai perkara berkenaan kerana kes seumpama itu tidak pernah terjadi sebelum ini.

1837 dibaca
Berita Harian X