Ahad, 28 Julai 2019 | 8:35am
CHRISTIAN Taylor

Taylor idam lebur rekod di Tokyo

DES MOINES, Amerika Syarikat: Raja lompat kijang, Christian Taylor percaya venue temasya Sukan Olimpik tahun depan di Tokyo dapat memberi inspirasi buatnya untuk memadamkan rekod dunia berusia 24 tahun milik Jonathan Edwards.

Taylor, 29, mendominasi acara itu sejak sedekad lalu dengan memenangi pingat emas Olimpik pada 2012 dan 2016 serta mahkota Kejohanan Dunia pada 2011, 2015 dan 2017.

Begitupun di sebalik pelbagai percubaan dilakukan, Taylor masih gagal mengatasi rekod dunia 18.29 meter milik Edwards yang dicipta pada Kejohanan Dunia 1995 di Gothenburg.

Taylor mengakui ia adalah impian terakhirnya selepas berjaya merangkul pelbagai kemenangan sebelum ini.

“Itulah sebabnya saya berada dalam sukan,” kata Taylor kepada AFP. “Saya cintakan balapan dan padang, tetapi (rekod) adalah alasan kenapa saya masih bertanding. Hanya itu perkara yang saya belum kecapi.”

Taylor beberapa kali menghampiri rekod berkenaan dengan catatan peribadi terbaik adalah 18.21m yang dilakukan di Kejohanan Dunia Beijing pada 2015. - AFP

Berita Harian X