Isnin, 29 Julai 2019 | 10:42am
Dalilah (tengah) mencatat rekod dunia acara 400 meter lari berpagar dengan catatan 52.20 saat dalam Kejohanan Padang dan Balapan Amerika Syarikat di Stadium Drakes, pagi tadi. - Foto EPA

Dalilah cipta rekod baru 400m lari berpagar

DES MOINES, Amerika Syarikat: Juara Olimpik, Dalilah Muhammad mencatat rekod dunia baru acara 400 meter lari berpagar dengan catatan 52.20 saat dalam Kejohanan Padang dan Balapan Amerika Syarikat di Stadium Drakes, pagi tadi.

Dalilah, 29, yang meraih emas di Olimpik Rio de Janeiro, mengatasi rekod 52.34 saat berusia 16 tahun milik atlet Russia, Yuliya Pechonkina yang dilakukan pada 2003.

Dalilah meninggalkan pencabar lain dan tiba di garisan penamat mengatasi pemenang tempat kedua, Sydney McLaughlin di stadium yang basah akibat hujan.

"Saya sangat terkejut,” kata Dalilah.

"Jurulatih saya kerap memberitahu saya mampu melakukannya dan saya percaya kata-katanya dan berusaha melakukannya.

"Saya amat berharap ia menjadi kenyataan, jadi saya perlu buktikan.”

Sydney yang menewaskan Dalilah di Liga Berlian Oslo musim ini mencatat 52.88 saat manakala Ashley Spencer di tempat ketiga (53.11s).

Dalilah yang juga atlet wanita pertama Amerika Syarikat yang menang emas di Olimpik Rio mengakui dia bergelut dengan kecederaan selepas terseliuh ketika latihan dua minggu lalu.

Begitupun dia yakin mampu mengatasi rekod Pechonkina dan ia nyata menjadi kenyataan.

Catatan Dalilah itu melengkapkan ujian kelayakan atlet Amerika Syarikat itu sekali gus layak ke Kejohanan Dunia di Doha, September ini. – AFP

720 dibaca
Berita Harian X