Selasa, 6 Ogos 2019 | 10:48pm
KETUA Kontinjen Negara ke Sukan SEA Filipina 2019 Datuk Megat Zulkarnain Omardin (depan, kiri) bersalaman bersama Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S Muthu (depan, kanan) ketika sesi lawatan di Stadium Mini MSN Bukit Jalil. - Foto BERNAMA

Lima emas olahraga realistik

KUALA LUMPUR: Sasaran lima pingat emas buat pasukan olahraga di temasya Sukan SEA Filipina 2019 hujung tahun nanti adalah realistik.

Jawapan itu dilontarkan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu ketika disoal tentang kewajaran sasaran lima emas yang diletakkan Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan SEA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

“Lima emas itu realistik .... tapi kita kena tunggu sampai 16 hingga 18 Ogos untuk kejohanan kebangsaan (Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2019).

“Lepas itu barulah kita boleh buktikan berapa kita boleh dapat,” kata Muthu ketika ditemui selepas lawatan CDM terhadap atlet olahraga di Mini Stadium Majlis Sukan Negara (MSN), dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan CDM II, Nurul Huda Abdullah.

Untuk rekod, pada Sukan SEA dua tahun lalu di Kuala Lumpur, kontinjen olahraga negara memperbaiki pencapaian apabila berada di tempat ketiga di belakang Vietnam dan Thailand dengan mengumpul lapan emas, lapan perak dan sembilan gangsa.

“Dulu (Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur) kita pernah dapat lapan pingat emas, kini kita mahu dapatkan angka yang lebih kurang sama, tetapi itu ketika kita bersaing dalam negara dan mendapat sokongan penuh (kehadiran penyokong) rakyat Malaysia,” katanya.

Disoal adakah KOM mahu menghantar atlet bertanding dalam kategori B jika gagal mencapai kriteria kelayakan beraksi dalam kategori A, Muthu berkata keputusan itu hanya akan diketahui selepas Terbuka Malaysia.

Katanya, perbincangan akan dilakukan bagi menilai bagaimana peluang harus diberikan untuk atlet menyertai Sukan SEA Filipina dalam kategori B, sambil memaklumkan buat masa ini terdapat 15 atlet olahraga yang berada dalam kategori A.

Temasya Sukan SEA Filipina 2019 dijadual berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember ini.

286 dibaca
Berita Harian X