Selasa, 6 Ogos 2019 | 10:50pm
PELARI muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi. - Foto Effendy Rashid

Azeem lupakan Sukan SEA demi prestasi

KUALA LUMPUR: Pelari muda negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi tidak merasakan satu kerugian buatnya jika tidak menyertai skuad negara ke temasya Sukan SEA Filipina 2019, hujung tahun ini.

Malah atlet dari Perak itu menegaskan keputusan tidak turut serta ke Filipina adalah dibuat secara bersama, meskipun sudah layak secara merit dalam acara 200 meter (m).

“Saya rasa tak rugi kalau saya tidak sertai Sukan SEA. Kalau hendak berjaya banyak pengorbanan yang perlu dilakukan.

“Lagipun saya nak jaga prestasi.... dah terlampu banyak kejohanan saya sertai tahun ini,” kata Azeem.

“Saya sudah layak secara merit (200m), tapi saya terlampau muda... jadi di saya rasa saya tak sertai kejohanan Sukan SEA tahun ini. Ini adalah keputusan saya sendiri, keluarga dan jurulatih.

Semalam Azeem merakam 21.15 saat untuk meraih emas acara 200 meter (m) dalam Kejohanan Sekolah-Sekolah Thailand (TSSG) di Khong Kaen, Thailand. 

Catatan itu melayakkan Azeem secara merit ke Filipina hujung tahun ini dan menjadi atlet termuda layak ke temasya berkenaan.

Selain itu, kepantasan 21.15s turut menyaksikan Azeem memperbaharui rekod peribadi miliknya sebelum ini, 21.24 saat yang dicipta dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Johor, pada April.

Selain meraih emas dalam acara 200m di Thailand, Azeem turut menjuarai acara pecut 100m dengan catatan 10.70s.

Mengulas lanjut, Azeem yang kini berusia 15 tahun menjelaskan keputusan tidak mahu menyertai Sukan SEA juga juga kerana dia mahu memberikan tumpuan terhadap bidang akademik.

“Tiba masa untuk saya beri tumpuan terhadap pelajaran memandangkan tahun ni saya akan menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Untuk rekod, Azeem yang mencatat 21.24 saat dalam acara 200m Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Johor, April lalu meletakkannya sebagai pelari bawah usia 16 tahun terpantas dunia ketika itu dan terbaik sepanjang zaman dalam kategori usia 14 tahun.

1478 dibaca
Berita Harian X