Ahad, 11 Ogos 2019 | 6:45pm
ATLET kebangsaan, Andre Anura Anuar. NSTP/Abdullah Yusof

Andre tekad perbaiki catatan di Terbuka Malaysia

 

KUALA LUMPUR: Atlet kebangsaan, Andre Anura Anuar mengakui masih tidak berpuas hati dengan catatan peribadi 7.72 meter (m) dalam acara lompat jauh, sekali gus bertekad memperbaikinya dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2019, 16 hingga 18 Ogos ini.

Andre yang berasal dari Tenom, Sabah menjelaskan selain mahu mendapatkan catatan lebih baik, dia juga mahu memastikan slot ke temasya Sukan SEA Filipina 2019.

“Kalau boleh saya mahu lompat lebih jauh di Terbuka Malaysia nanti dan catatan 7.72m (dicipta di Kejohanan Olahraga Grand Prix Terbuka Malaysia) harus diperbaiki.

“Untuk Sukan SEA pula, jika diikutkan catatan saya sudah layak kerana berada di ranking kedua Asia Tenggara, tapi selagi senarai rasmi belum dikeluarkan saya tidak boleh terlalu yakin,” kata atlet berusia 20 tahun itu kepada BH Sukan.

Berdasarkan laman web Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), jarak 7.72m direkodkan Andre berada di ranking kedua peringkat Asia Tenggara. 

Tiga lagi atlet negara, Abdul Latif Romly (7.49m), Muhammad Nazri Mustafa (7.45m) dan Luqman Hakim Ramlan (7.34m) pula masing-masing di ranking kelima, keenam dan sembilan Asia Tenggara.

Kedudukan pertama setakat ini dihuni atlet berusia 25 tahun dari Indonesia, Sapwaturahman yang mencipta jarak lompatan 7.97m.

“Kalau ada rezeki, saya juga cuba untuk mencipta rekod kebangsaan di Terbuka Malaysia nanti,” kata Andre yang meraih emas acara lompat kijang di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 dengan catatan 15.91m.

Catatan itu meleburkan rekod 15.75m milik Ahmad Firdaus di SUKMA Terengganu 2008, serta berjaya meraih perak lompat jauh dengan jarak 7.35m.

Rekod kebangsaan acara lompat jauh lelaki masih menjadi milik Josbert Tinus dengan jarak 7.88m yang dicipta pada Oktober 2007 di Bangkok, Thailand.

Berita Harian X