Selasa, 13 Ogos 2019 | 9:18pm
ZAIDATUL Husniah Zulkifli.

Zaidatul Husniah perlu segera cari tiket ke Filipina

KUALA LUMPUR: Masa semakin mencemburui ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli yang masih tercari-cari rentak terbaik untuk menempah tiket beraksi di Sukan SEA Filipina 2019.

Ia berikutan pelari berusia 25 tahun itu yang sedang berkelana di Amerika Syarikat (AS) masih belum melepasi syarat kelayakan ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Sebagai rekod, untuk melepasi syarat merit atlet perlu menghuni kedudukan tiga terbaik Asia Tenggara berbanding Husniah yang ketika ini di ranking kelima.

Justeru ketua jurulatih negara, Manshahar Abd Jalil percaya Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia bermula Jumaat ini amat penting buat semua atlet olahraga mencari tiket ke Sukan SEA walaupun belum ada kepastian mengenai penyertaan Husniah yang terikat dengan komitmen kejohanan di AS.

"Husniah ketika ini di ranking kelima di belakang dua pelari Filipina, Zion Carrales (11.41s) dan Kristina Marie Knott (11.42s). 

“Bagaimanapun saya menjangkakan seramai 25 ke 30 atlet akan terpilih beraksi di Sukan SEA apabila senarai akhir diumumkan selepas tamatnya Kejohanan Tertutup di Stadium Mini MSN nanti," katanya ketika ditemui pada sidang media skuad olahraga ke Sukan SEA.

Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia adalah pentas terakhir buat semua atlet melayakkan diri ke temasya Sukan SEA Filipina, November ini.

Malah, Manshahar turut percaya tiada tiket mudah terutama buat atlet pecut negara Khairul Hafiz Jantan yang perlu berusaha lebih keras untuk melepasi syarat kelayakan bagi kategori A. 

"Catatan 10.50s meletakkan Khairul Hafiz berkedudukan tempat ke-10 Asia Tenggara," katanya.

Untuk rekod ketika ini seramai 15 atlet melepasi syarat kelayakan bagi kategori A membabitkan 12 lelaki dan tiga wanita.

Mengulas mengenai sasaran, Manshahar berkata, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menjangkakan lima emas akan berjaya diraih.

Biarpun jumlah berkenaan kurang daripada edisi sebelum ini di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) iaitu lapan emas, namun ia dilihat realistik berdasarkan persiapan skuad negara.

Berita Harian X