Khamis, 15 Ogos 2019 | 8:25pm
Khairul Hafiz baru kembali ke pertandingan kompetitif bulan lalu selepas terpaksa berehat selama tujuh bulan kerana mengalami kecederaan. - Arkib NSTP

Pentas terakhir Khairul Hafiz ke Filipina

KUALA LUMPUR: Kejohanan Olahraga Kebangsaan (KOM) bermula esok bakal menjadi pentas terakhir sama ada Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan dapat melayakkan diri ke Sukan SEA 2019 Filipina bagi mempertahankan gelaran dimenanginya di Kuala Lumpur.

Masih belum disenaraikan ke temasya pada November ini, Khairul Hafiz baru kembali ke pertandingan kompetitif bulan lalu selepas terpaksa berehat selama tujuh bulan kerana mengalami kecederaan.

Selepas melakukan 10.70 saat pada penampilan pertamanya di Sukan Universiti Dunia di Napoli bulan lalu, The Speedy Jantan membaiki catatan itu kepada 10.50s pada Terbuka Kuala Lumpur minggu lalu.

Persoalan bakal terjawab pada kejohanan di Stadium Majlis Sukan Negara (MSN) sama ada Khairul Hafiz yang mencatatkan 10.38s pada Sukan SEA lalu berjaya mencatat masa lebih baik daripada 10.37s untuk membolehkannya mengatasi catatan masa rakan senegara, Johnathan Nyepa.

Johnathan yang kini menjalani latihan di Amerika Syarikat mempunyai catatan terbaik 10.37s bagi meletakkan dirinya di tempat ketiga rantau Asia Tenggara dan buat masa ini sudah tersenarai mewakili negara dalam acara pecut di Filipina bawah Kategori A.

"Atlet yang nak mewakili negara dalam acara pecut mesti berada sekurang-kurangnya di ranking ketiga Asia Tenggara. Khairul Hafiz misalnya masih belum selamat dan kalau dia mahu mewakili negara, dia kena buat sekurang-kurangnya 10.37s pada Kejohanan Olahraga KOM. 

"Untuk pelari wanita pula kita jauh ketinggalan. Kita kena realistik sebab Sukan SEA 2019 ini kita berdepan saingan sangat kuat daripada pelari tuan rumah yang mencatatkan 10.41s sedangkan Zaidatul Husniah (Zulkifli) baru 10.65s iaitu ranking keenam Asia Tenggara," kata Ketua Jurulatih Olahraga, Mohd Manshahar Abd Jalil.

Manshahar berkata, Zaidatul Husniah bagaimanapun masih berpeluang ke Filipina namun berkemungkinan di bawah Kategori B.

Buat masa ini, 12 atlet olahraga lelaki dan tiga atlet wanita sudah tersenarai ke temasya edisi ke-30 itu dengan Manshahar mensasarkan senarai itu akan bertambah selepas Kejohanan Olahraga KOM selama tiga hari bermula esok dengan jangkaan 25 hingga 30 atlet.

1026 dibaca
Berita Harian X