Jumaat, 16 Ogos 2019 | 8:14pm
Khairul Hafiz menduduki tempat kedua dalam acara 100m Lelaki pada Kejohanan Olahraga Persekutuan Olahraga Malaysia (KOM) di Stadium MSN, Bukit Jalil. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Khairul Hafiz gagal ke Manila

KUALA LUMPUR: Harapan untuk menyaksikan Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan untuk menempah tiket ke Sukan SEA 2019 di Filipina secara merit pada hujung tahun ini berakhir namun peluangnya untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dua tahun lalu menerusi tiket Kategori B masih cerah. 

Khairul Hafiz yang bersaing pada pentas kelayakan terakhir Sukan SEA di Kejohanan Olahraga Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2019 di Stadium Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini menyaksikan beliau terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan masa 10.71 saat, masih jauh daripada rekod kebangsaan 10.18s miliknya.

Beliau perlu mencatatkan masa yang lebih baik daripada 10.37s iaitu catatan masa rakan senegara, Johnathan Nyepa dengan catatan itu berada di ranking ketiga Asia Tenggara. 

Acara 100m pada Kejohanan Olahraga KOM yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menyaksikan Muhammad Haiqal Hanafi yang mewakili Johor muncul juara dengan mencatatkan 10.59 saat diikuti Khairul Hafiz yang mewakili Melaka (10.71s) dan gangsa dimenangi pelari Terengganu, Muhammad Zulfiqar Ismail (10.81s).

Pelari berumur 21 tahun itu berkata beliau tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk mewakili negara di Filipina pada November ini memandangkan beliau baru sahaja kembali ke trek selama enam minggu disebabkan terpaksa berehat daripada kecederaan selama tujuh bulan.

"Kalau pergi juga, saya akan lakukan yang terbaik kerana saya bawa nama Malaysia. Walaupun catatan terbaik musim ini saya lakukan 10.50s, saya tetap bersyukur kerana saya baru sahaja berlatih selama enam minggu. 

"Memang catatan 10.18s (rekod kebangsaan) dan 10.50s adalah jauh tetapi saya tahu kondisi badan saya ketika saya berlari dengan merekodkan 10.18s tanpa kecederaan dan lari pada masa sekarang adalah jauh berbeza," katanya.

Untuk rekod, Khairul baharu saja membuat penampilan pertama pada kejohanan kompetitif di di Sukan Universiti Dunia di Napoli bulan lalu dengan catatan masa 10.70s dan berjaya membaiki catatan 10.50s pada Terbuka Kuala Lumpur minggu lalu yang juga kejohanan keduanya selepas tempoh kecederaan.

Khairul berkata beliau juga berjaya menambah berat badan ketika tempoh kecederaan dan ini serba sebanyak memberi kesan kepada lariannya yang mana memerlukan lebih masa untuk penyesuaian.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Olahraga Mohd Manshahar Abd Jalil berkata peluang untuk Khairul Hafiz ke temasya di Filipina menerusi Kategori A sudah berakhir namun namanya masih boleh disenaraikan di bawah Kategori B dan akan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan KOM akan berlangsung Isnin ini.

"Kemungkinan itu ada (untuk disenaraikan dalam Kategori B) kerana kita juga akan pilih nama untuk acara 4x100m. Jika nama Khairul Hafiz sudah disenaraikan dalam skuad, kita boleh susun untuk turun dalam acara berganti-ganti dan juga individu," katanya.

Terdahulu, acara 100m wanita pula menyaksikan Siti Fatimah Mohammad yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencatatkan 12.28s untuk pingat emas sementara rakan sepasukan, S Komalam di tempat kedua (12.41s) dan pelari Terengganu, Azreen Nabila Alias di tempat ketiga (12.55s).

2489 dibaca
Berita Harian X