Sabtu, 17 Ogos 2019 | 4:11pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) membuat larian pada majlis pelancaran penggunaan percuma trek Stadium Nasional Bukit Jalil yang diadakan di Trek Stadium Nasional, KL Sports City, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Syed Saddiq cuba bantu Khairul Hafiz ke Filipina

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi menentukan nasib Khairul Hafiz Jantan selepas jaguh pecut itu gagal layak secara merit beraksi di Sukan SEA Filipina 2019, November ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pihak berkepentingan dalam masa terdekat sebelum membuat keputusan muktamad mengenai kedudukan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu.

“Saya tidak boleh membuat keputusan bersendirian kerana perkara berkenaan tertakluk di bawah bidang kuasa KOM dan MOM. Bagaimanapun, saya yakin persatuan akan mencari jalan untuk membantu Khairul Hafiz kerana dia seorang atlet berkebolehan dan berpotensi besar,” katanya.

Syed Saddiq mengulas sama ada KBS akan campur tangan dalam isu Khairul Hafiz selepas Raja Pecut Asia Tenggara itu hanya menduduki tempat kedua dengan catatan masa 10.71 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Tertutup KOM 2019 – yang menjadi pentas terakhir kelayakan ke temasya dwitahunan itu – di Stadium MSN.

Catatan itu masih jauh daripada rekod kebangsaan 10.18s miliknya dan untuk melayakkan diri secara merit ke Filipina 2019, Khairul Hafiz juga perlu mencatatkan masa lebih baik daripada 10.37s yang dilakukan rakan sepasukan, Johnathan Nyepa, iaitu catatan di ranking ketiga terbaik Asia Tenggara.

Dalam saingan acara 100 m pada Kejohanan Olahraga Tertutup KOM itu menyaksikan Muhammad Haiqal Hanafi dari Johor muncul juara dengan catatan masa 10.59s diikuti Khairul Hafiz yang mewakili Melaka (10.71s) dan gangsa dimenangi pelari Terengganu, Muhammad Zulfiqar Ismail (10.81s).

Untuk rekod, Khairul Hafiz baru saja membuat penampilan pertama pada kejohanan kompetitif di Sukan Universiti Dunia di Napoli bulan lalu selepas pulih daripada kecederaan dengan catatan masa 10.70s dan berjaya memperbaiki catatan 10.50s pada Terbuka Kuala Lumpur minggu lalu.

 

474 dibaca
Berita Harian X