Ahad, 18 Ogos 2019 | 1:29pm
ATLET baling tukul besi, Jackie Wong di MSN Bukit Jalil. NSTP/Owee Ah Chun.

Jackie pecah rekod lagi

 

KUALA LUMPUR: Jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan pada Kejohanan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), sebentar tadi.

Bukan sekali tetapi dua kali atlet dari Sarawak itu memadamkan rekod kebangsaan miliknya pada hari yang sama dengan balingan terbaik 68.22 meter (m) untuk muncul juara di Stadium MSN.

Ia sekali gus menjadikan keseluruhan rekod yang dipecahkannya sepanjang 2019 kepada empat kali.

Terdahulu, Jackie, 27, pernah memecahkan rekod kebangsaan ketika beraksi di Terbuka Korea Selatan, Jun lalu dan Kejuaraan Olahraga Asia, April lalu masing masing dengan catatan 67.31m serta 67.01m.

Bagi Jackie, kejayaan itu sebagai permulaan baik dalam persediaannya bagi mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Filipina 2019 nanti.

"Sebelum ini prestasi saya sedikit merosot selepas aksi di Korea Selatan dan ini menjadi bukti bahawa saya kembali mendapat rentak sekali untuk ke Sukan SEA,” kata Jackie.

"Jika melihat kepada catatan hari ini memang peluang saya untuk menang emas di Filipina agak cerah, namun saya tetap perlu berhati-hati kerana kita tidak tahu macam-macam boleh terjadi nanti.”

Sebagai rekod, Jackie sudah memecahkan rekod kebangsaan sebanyak 17 kali sepanjang tujuh tahun bergelar atlet profesional.

Sementara itu, jaguh Paralimpik negara, Abdul Latif Romly yang mengambil bahagian bersama atlet normal memenangi acara lompat jauh dengan lompatan sejauh 7.64m.

Meskipun melakar catatan terbaik peribadinya tahun ini dan kelima terbaik di kalangan atlet Asia Tenggara, namun secara meritnya dia tetap gagal menyambar tiket kategori A ke Sukan SEA Filipina.

Berita Harian X