Isnin, 19 Ogos 2019 | 10:54am
Pelumba dari Jamaica, Yohan Blake meraikan kejayaan menjuarai 100 meter pada Kejohanan Liga Berlian, di Birmingham, semalam. - Foto AFP

Blake azam gegar semula pentas dunia

BIRMINGHAM, England: Bekas juara dunia, Yohan Blake dari Jamaica mengatasi atlet pecut Britain, Adam Gemili menerusi photo finish untuk memenangi saingan 100 meter Kejohanan Liga Berlian, di sini semalam.

Kedua-dua atlet merekod masa 10.07 saat tetapi kemenangan memihak Blake.

"Ia akan menyusul,” kata Blake, yang juga juara dunia 2011 yang kali terakhir memenangi emas di temasya Olimpik London 2012.

Blake, 29, yang dibayangi atlet Amerika Syarikat Christian Coleman, Justin Gatlin dan Noah Lyles sejak beberapa tahun kebelakangan ini mencatat kepantasan itu dengan bantuan angin 2.0 meter per saat yang dibenarkan.

"Cuaca sangat bagus dan saya akan memberi tumpuan pada Kejohanan Dunia dan final Liga Berlian di Zurich, saya mampu berlari lebih laju,” kata Blake.

Coleman menarik diri saingan itu manakala atlet Kanada yang memenangi tiga gelaran di Olimpik,  Andre De Grasse menduduki tangga kelima dengan catatan 10.13s.


Pelumba dari Bahamas, Shaunae Miller-Uibo (dua dari kanan) menjuarai acara 200 meter wanita dalam Kejohanan Berlian, semalam. - Foto EPA

Dalam pada itu, pemenang emas 400 meter Olimpik, Shaunae Miller-Uibo dari Bahamas merangkul gelaran ke-11 dalam acara 200 meter mengatasi atlet tuan rumah, Dina Asher-Smith dan atlet Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce.

Miller-Uibo, yang tidak pernah tewas acara itu sejak 2017 meninggalkan Asher-Smith baki 70 meter untuk mencatat 22.24 saat. Asher-Smith mencatat 22.36s manakala Fraser-Pryce 22.50s.

"Perlumbaan tidak berjalan seperti dirancang, permulaan saya agak teruk dan terpaksa bergantung kepada teknik larian 400 meter untuk menamatkan saingan.” – Reuters

Berita Harian X