Selasa, 3 September 2019 | 9:52am
JUARA dunia acara 400 meter, Wayde van Niekerk. - Foto Reuters

Van Niekerk tarik diri Kejohanan Dunia Qatar

JOHANNESBURG: Juara dunia acara 400 meter, Wayde van Niekerk tidak dapat mempertahankan gelarannya di Kejohanan Dunia di Qatar hujung bulan ini selepas kecederaan lututnya ketika bermain ragbi sentuh belum pulih sepenuhnya.

Van Niekerk muncul juara dunia acara itu pada 2015 dan berjaya mengekalkan gelaran berkenaan dua taun lalu sebelum lututnya cedera ketika bermain ragbi sentuh dalam acara pertunjukkan di Cape Town membabitkan Afrika Selatan dan New Zealand. 

Atlet berusia 27 tahun itu kembali ke trek Februari lalu sebagai persiapan ke Kejohanan Olahraga Kebangsaan Bloemfontein, tetapi terpaksa menarik diri dari kejohanan berkenaan selepas bimbang cuaca sejuk ketika itu menjejaskan proses pemulihannya.

Mengulas mengenai keputusannya menarik diri dari Kejohanan Dunia di Doha pada 27 September hingga 6 Oktober itu, Van Niekerk berkata dia enggan terlalu memaksa dirinya.

"Saya gembira dengan kehidupan yang saya kecapi ini. Saya menghormati arahan doktor dan juga diri sendiri. Saya sentiasa menjaga diri dan tidak memaksa diri sendiri.”

Meskipun tidak bertanding sejak kecederaan itu, Van Niekerk selaku penyandang juara layak mengambil bahagian di Kejohanan Dunia di Qatar.

Selain dua pingat emas Kejohanan Dunia, Van Niekerk muncul juara acara 400 meter di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro dengan merakam rekod dunia 43.03 saat. – AFP

485 dibaca
Berita Harian X