Isnin, 9 September 2019 | 6:24pm
KONTINJEN olahraga Daerah Kuala Terengganu, gembira selepas muncul juara keseluruhan dalam sukan olahraga temasya Sukan Terengganu 2019. - Foto Malik Muhamad

Kuala Terengganu ungguli saingan olahraga SUTERA2019

KUALA TERENGGANU: Kontinjen Daerah Kuala Terengganu mengungguli saingan olahraga pada temasya Sukan Terengganu 2019 (SUTERA2019) dengan kutipan sembilan pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa.

Kejayaan itu sekali gus mencipta sejarah tersendiri pada kejohanan edisi sulung berkonsepkan patuh syariah yang kali pertama diadakan di negara ini.

Paling mencuri tumpuan ialah atlet meningkat naik, Abdul Wafiy Roslan, apabila menumpaskan atlet kebangsaan yang mewakili Setiu, Muhammad Zulfiqar Ismail, dalam acara 200 meter (m).

Atlet itu turut cemerlang dalam acara 400m apabila merangkul emas kedua peribadinya pada kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Kontinjen Daerah Kuala Terengganu juga meraih emas menerusi Nur Syafiqa Atira Ahmad Tarmizi dalam acara merejam lembing, lari berganti-ganti 4 x 1 kilometer lelaki/perempuan, 4x100m dan 4x400m lelaki.

Selain itu, emas diperoleh melalui acara 5000m lelaki dan wanita masing-masing melalui Muhammad Helmi Azri Suhaimi serta Noor Amelia Musa.

Tidak ketinggalan melakar kilauan emas ialah Ruslem Zikry Putra Roseli menerusi acara 110m lari berpagar.

Mengikuti rapat ialah Kontinjen Daerah Kuala Nerus yang meraih tujuh emas, satu perak dan lima gangsa, manakala pasukan jemputan, Kelantan turut mencuri tumpuan dengan merangkul empat emas, dua perak dan tiga gangsa.

Kontinjen Daerah Hulu Terengganu menyusuli dengan tiga emas, lima perak dan dua gangsa, sementara tempat kelima milik Setiu dengan kutipan tiga emas, tiga perak dan tiga gangsa, diikuti Kemaman dengan dua emas dan tiga gangsa.

Dungun pula merangkul satu emas, enam perak dan dua gangsa untuk menduduki tempat ketujuh pungutan pingat dalam saingan olahraga, Marang di tangga kelapan dengan satu emas, lima perak dan empat gangsa, manakala Besut tercorot dengan satu emas, dua perak dan satu gangsa.

Mengulas kemenangan itu, Ketua Jurulatih Kontinjen Daerah Kuala Terengganu, Mohd Nizam Md Yusop, berkata latihan berterusan dan sistematik menjadi kunci kejayaan mereka.

“Selain itu, komitmen semua pihak termasuk atlet dan pihak pengurusan, serta pembangunan secara konsisten dan tersusun membolehkan kita melahirkan lebih ramai bakat muda yang bukan saja menyerlah pada peringkat negeri tetapi juga kebangsaan,” katanya.

291 dibaca
Berita Harian X