Isnin, 30 September 2019 | 11:50am
Ratu pecut Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce menang pingat emas keempatnya selepas menjuarai acara 100 meter Kejohanan Olahraga Dunia. - Foto Reuters

Fraser-Pryce, Felix dan Liu Hong tambah emas di Doha 

DOHA: Ratu pecut Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce menang pingat emas keempatnya selepas menjuarai acara 100 meter Kejohanan Olahraga Dunia di sini pagi tadi manakala legenda Amerika Syarikat (AS), Allyson Felix memecahkan rekod pungutan pingat emas milik Usain Bolt.

Fraser-Pryce dan Felix, masing-masing kembali ke gelanggang selepas berehat susulan melahirkan anak, memukau pada hari ketiga kejohanan yang berlangsung di Stadium Khalifa itu.

Fraser-Pryce, 32, yang tidak mengambil bahagian dalam kejohanan sama pada 2017 susulan melahirkan anak sulungnya, merakam 10.71 saat untuk menang emas.

Atlet Britain, Dina Asher-Smith menang perak dengan catatan 10.83 saat manakala bintang Ivory Coast, Marie-Josee Ta Lou menang gangsa dengan catatan 10.90 saat.

"Saya benar-benar gembira dapat berdiri sekali lagi di sini sebagai pemenang selepas melahirkan anak," kata Fraser-Pryce.

"Atlet bergelar ibu terus menyerlah. Kami bangga masih mampu mengekalkan prestasi dan saya amat gembira dengan kemenangan ini.”

Fraser-Pryce menjuarai Kejohanan Dunia pada 2009, 2013 dan 2015 sebelum berehat untuk membesarkan anak lelakinya, Zyon yang kini berusia dua tahun.

Felix pula kembali ke gelanggang selepas 13 bulan berehat susulan melahirkan bayi perempunan (Camryn) menerusi pembedahan November lalu.

Allyson Felix memecahkan rekod pungutan pingat emas milik Usain Bolt. - Foto Reuters

Felix , 33, yang gagal melayakkan diri dalam acara 400 meter individu, meraih pingat emas dalam acara 4x400m campuran dengan membantu AS mencipta rekod dunia menerusi catatan masa 3 minit 09.34 saat.

Pingat emas ke-12 Felix itu memadamkan jumlah pungutan legenda Jamaica, Bolt yang memenangi 11 emas di Kejohanan Dunia.

Secara keseluruhan, Felix kini sudah mengumpul 26 pingat termasuk enam pingat emas Sukan Olimpik.

Sementara itu, jaguh jarak jauh China, Liu Hong mengetuai malam cemerlang China apabila menjuarai acara 20 kilometer jalan kaki ketika berdepan suhu bahang dan panas melampau di Doha.

Jaguh jarak jauh China, Liu Hong. - Foto EPA

Juara Olimpik dan pemegang rekod dunia itu mendahului rakan senegara untuk menang emas ketiga Kejohanan Olahraga Dunia dengan merakam masa satu jam 32 minit dan 53 saat iaitu 17 saat di depan Qieyang Shenjie, manakala Yang Liujing menang gangsa.

Ia juga pertama kali menyaksikan tiga atlet dari negara sama menyapu bersih pingat acara jalan kaki di kejohanan itu.

Atlet jalan kaki meredah suhu panas yang mencecah 32 darjah Celsius dengan tahap kelembapan 75 peratus. – AFP

Berita Harian X