Selasa, 1 Oktober 2019 | 1:21pm
Alberto Salazar dikenakan hukuman penggantungan empat tahun selepas didapati bersalah melanggar peraturan doping. - Foto Reuters

Salazar digantung empat tahun

LOS ANGELES: Jurulatih olahraga terkemuka Amerika Syarikat, Alberto Salazar, yang pernah membimbing bintang Olimpik seperti Mo Farah dan Galen Rupp, dikenakan hukuman penggantungan empat tahun selepas didapati bersalah melanggar peraturan doping.

Keputusan penggantungan terhadap jurulatih berumur 61 tahun itu dibuat hasil penyiasatan selama empat tahun oleh Agensi Anti-Doping Amerika Syarikat (USADA) dan dilakukan secara rahsia.

USADA juga berkata Jeffrey Brown, seorang pakar endokrinologi dari Texas yang sering merawat atlet Salazar, juga dikenakan penggantungan empat tahun.

Ketika mengumumkan penggantungan itu, USADA memuji tindakan berani atlet untuk menyatakan kebenaran.

“Atlet dalam kes ini memperoleh keberanian untuk bercakap dan mendedahkan kebenaran,” kata ketua pegawai USADA, Travis Tygart.

“Ketika bekerjasama dengan Nike Oregan Project, Salazar dan Dr Brown memberitahu kemenangan adalah lebih penting berbanding kesihatan seseorang atlet yang mana mereka berjanji untuk lindungi.”

USADA dalam kenyataan itu juga berkata panel penyiasatan itu melakukan penggantungan kepada Salazar dan Brown berikutan “merancang dan melakukan kesalahan doping yang dilarang.” – AFP

Berita Harian X