Rabu, 2 Oktober 2019 | 12:02pm
Pelari dari Amerika Syarikat, Noah Lyles meraikan kejayaan selepas menjuarai final 200m lelaki di Kejohanan Olahraga Dunia IAAF 2019 di Stadium Khalifa di Doha, Qatar. - Foto EPA

'Saya bukan Bolt yang baru'

DOHA: Noah Lyles mengetuai kejayaan Amerika Syarikat (AS) pada Kejohanan Olahraga Dunia, beberapa jam selepas olahraga dikejutkan dengan kontroversi penggantungan jurulatih terkemuka Alberto Salazar.

Persembahan mengagumkan Lyles untuk memenangi gelaran 200 meter (m), sementara  Donovan Brazier – yang terbabit dalam Nike Oregon Project yang dikendalikan Salazar – muncul pelari AS pertama dimahkotakan kejuaraan dalam acara 800m.

Sam Kendricks pula menghadiahkan emas ketiga AS apabila muncul juara lompat bergalah sekali gus menyertai Sergey Bubka untuk muncul satu-satunya atlet lelaki yang berjaya mempertahankan gelaran.

Biarpun ada pihak yang membandingkan Lyles dengan bekas legenda Jamaica, Usain Bolt, pelari Amerika Syarikat yang berumur 22 tahun itu berkata dia adalah sangat berbeza berbanding Bolt.

“Pada masa ini, saya baru mula berlari tahun lalu,” kata Lyles yang mencatatkan 19.83 saat untuk memenangi emas acara 200m dan terus memeluk ibunya.


Aksi Noah Lyles (tengah) bersama pelari lain pada final 200m lelaki di Kejohanan Olahraga Dunia IAAF 2019. - Foto EPA

“Jangan cakap saya adalah Bolt yang baru,” katanya. “Saya adalah saya. Jika anda sukakan saya, saya gembira untuk hiburkan anda. Ini adalah masa saya.”

Atlet Kanada, Andre De Grasse memenangi perak dengan catatan 19.95s dan Alex Quinonez dari Ecuador di tempat ketiga dengan 19.98s.

Sementara itu, Brazier  yang mencatatkan 1 minit 42.34 saat pula kelihatan tidak terganggu dengan penggantungan empat tahun Salazar apabila memecah rekod kejohanan selama 32 tahun milik pelari Kenya, Billy Koncellah.

“Saya sangat sedih. Saya pernah berhubung dengan Alberto, tetapi saya tidak dilatih oleh beliau, tetapi beliau adalah seorang yang baik dan melihat beliau dipalit dengan reputasi buruk, ia begitu menyakitkan buatnya.” – AFP

 

 

Berita Harian X