Ahad, 6 Oktober 2019 | 2:31pm
JAGUH lompat tinggi negara, Lee Hup Wei. - Foto AFP

Hup Wei fokus lebur rekod Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Kegagalan meraih podium Kejohanan Olahraga Dunia, Doha, Qatar 2019 bukan penamat buat Lee Hup Wei, tetapi jaguh lompat tinggi negara itu mahu terus mengukir nama di rantau Asia Tenggara pula.

Atlet berusia 32 tahun itu berkata, selepas kejohanan Doha melabuhkan tirai, dia akan memberi tumpuan terhadap temasya Sukan SEA Filipina selain berhasrat memecahkan rekod Asia Tenggara.

"Selepas ini saya akan beraksi di Sukan SEA Filipina dan saya jangkakan saingan sengit akan diterima daripada rakan senegara, Nauraj Singh Randhawa dan atlet dari Vietnam.

"Sasaran saya adalah untuk memecahkan rekod Sukan SEA," kata Hup Wei kepada BH Sukan ketika dihubungi.

Hup Wei yang meraih pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) berkongsi ketinggian 2.24m bersama Nauraj, sekali gus catatan mereka menyamai pencapaian rekod Sukan SEA yang dilakar Loo Kum Zee, juga dari Malaysia yang dicipta di Sukan SEA Thailand 1995.

Terdahulu, pada awal pagi Sabtu, Hup Wei yang beraksi dalam saingan akhir di Stadium Antarabangsa Khalifah, Doha gagal menyempurnakan lompatan 2.30m untuk menyamai rekod kebangsaan milik Nauraj apabila mencatat lompatan setinggi 2.27 meter (m). 

Dia menamatkan saingan di kedudukan kelapan daripada 12 atlet keseluruhan dengan pingat emas acara itu menjadi milik jaguh Asia, Mutaz Essa Barshim (Qatar) dengan lompatan setinggi 2.37m manakala pingat perak dan gangsa pula masing-masing diraih oleh dua atlet Rusia iaitu Mikhail Akimenko serta Ilya Ivanyuk dengan berkongsi rekod 2.35m.

Hup Wei yang bertanding atas tiket wild card melepasi dua had ketinggian dengan satu percubaan bermula 2.19m dan 2.24m seterusnya mencatatkan keputusan 2.27m dengan dua percubaan namun cubaannya bagi ketinggian 2.30m tidak berhasil. 

Catatan 2.27m juga sekali gus meleburkan peluangnya untuk melakukan lompatan seterusnya setinggi 2.33m bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara merit.

"Saingan final kali ini memang sengit, jika mahu berada di kedudukan ketujuh terbaik keseluruhan, perlu lakukan lompatan 2.30m. Empat atlet terbaik yang layak ke Olimpik pun catatkan ketinggian 2.33m ke atas.

"Apa pun saya gembira dengan ketinggian 2.27m yang dilakukan," kata Hup Wei.

Berita Harian X