Ahad, 23 Februari 2020 | 6:40pm
Johan Acara 100 Meter, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Nurul Wardatul Huwaida Hamka bergambar bersama pingat yang diraih selepas beraksi pada Kejohanan Olahraga Perak Allcomers di Stadium Perak hari ini. Azeem menjuarai acara tersebut dengan catatan masa 10.88 saat manakala Wardatul menjuarai acara tersebut dengan catatan masa 12.29 saat. - Foto BERNAMA

'Usain Bolt' Malaysia raih kejuaraan berganda

IPOH: Pelari yang diberi julukan ‘Usain Bolt’ Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus cemerlang pada Kejohanan Olahraga Perak All-Comers 1 apabila melakar kemenangan berganda dengan memenangi acara 100 meter di Stadium Perak, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, pelari remaja negara yang berusia 16 tahun itu hanya sekadar mencatatkan kepantasan 10.88 saat (s) sekali gus gagal memperbaharui rekod kejohanan yang dilakukan atlet Sarawak, Jonathan Nyepa melalui catatan 10.49s.

Sebagai rekod, ia merupakan emas kedua Muhammad Azeem pada Kejohanan All Comers selepas meraih emas acara 200m semalam dengan catatan masa 21.04s.

Pingat perak dalam acara tersebut diraih atlet Johor, Muhammad Arsyad Md Saat dengan catatan 11.04s manakala gangsa dirangkul atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Para, Abdul Latif Romly melalui catatan 11.05s.

Johan Acara 100 Meter lelaki, Muhammad Azeem Mohd Fahmi (tengah) ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga Perak Allcomers di Stadium Perak hari ini. Azeem menjuarai acara tersebut dengan catatan masa 10.88 saat. - Foto BERNAMA

Muhammad Azeem, yang mewakili Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Perak berkata, beliau berpuas hati dengan masa yang dicatatkan itu walaupun mengakui ia jauh daripada catatan peribadi terbaik, 10.57s dilakukan pada Kejohanan Terbuka Innotex di Bukit Jalil, November lalu.

"Berdasarkan catatan yang dilakukan tadi (10.88s) bagi saya ia tak jadi masalah sebab saya memang tak letak sasaran tetapi hanya nak dapatkan 'feel' larian.

“Bagaimanapun masih banyak yang perlu diperbaharui dan diperbaiki untuk pertandingan selepas ini," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat itu.

Sementara itu, bagi kategori wanita, pelari remaja kebangsaan, Nurul Wardatul Huwaida Hamka berjaya merangkul pingat emas acara 100m dengan catatan 12.29s.

Pingat perak diraih atlet Johor, Nur Najibah Hanim Abdul Halim melalui catatan 12.52s manakala pingat gangsa turut menjadi milik Johor melalui Nabila Natasha Azisyan yang mencatatkan masa 12.72s.

Nurul Wardatul, yang mewakili Terengganu ketika ditemui, berkata, beliau amat gembira dengan kemenangan itu selepas turut menjuarai acara 200m semalam dengan catatan 25.26s.

“Apa pun saya amat berterima kasih kepada jurulatih dan ibu bapa yang banyak menjadi pendorong dalam kejayaan saya di kejohanan ini," katanya.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X