Selasa, 25 Julai 2017 | 9:23pm
MULIYADI Jamal pada sidang media Genting Tennis Malaysia National Circuit 2017. - Foto Zunnur Al Shafiq

KL2017: Skuad tenis sedia lakar kejutan

KUALA LUMPUR: Pasukan tenis negara melaungkan amaran betapa mereka bersedia melakar kejutan pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang kini hanya berbaki 24 hari lagi.

Ketua jurulatih tenis negara, Muliyadi Jamal berkata kelebihan beraksi di laman sendiri mampu dimanfaatkan semua pemain bagi menjelmakan pingat emas yang dinanti-dinantikan peminat sukan tanah air.

"Kali terakhir kita memenangi pingat emas di Sukan SEA adalah pada 1973 (menerusi beregu wanita iaitu Radhika Menon dan Lim Kheow Suen) dan saya harap kali ini pemain kita dapat melakar kejutan.

"Ini kerana bagi saya inilah masanya apatah lagi kita mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri walaupun kita sedar, secara realistik agak jauh dari segi ranking.

"Tapi macam-macam perkara boleh berlaku. Dengan semangat Kita Juara, InsyaAllah mereka berikan yang terbaik," katanya ketika ditemui pada sidang media Kejohanan Tenis Terbuka Kuala Lumpur (KLOpen) 2017, yang turut dihadiri

Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM), Mirzan Mahathir, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muliyadi berkata harapan negara untuk mendapat pingat emas terarah kepada gandingan beregu wanita, Jawairiah Noordin dan Theiviya Selvarajoo berdasarkan penilaian mengikut ranking.

Dia bagaimanapun berharap pemain beregu lelaki, Mohd Assri Merzuki dan Syed Mohd Agil Syed Naguib dapat beraksi dengan baik kerana segala prestasi mereka hanya dapat dinilai menjelang KL2017.

Untuk KL2017, skuad negara mempertaruhkan 10 pemain untuk menggalas cabaran negara dalam lima acara dipertandingkan.

Mereka adalah Mohd Assri, Syed Mohd Agil, Ahmad Deedat Abdul Razak, Koay Hao Seng dan Christian Oliver Lee, manakala pemain wanita pula adalah Jawairiah, S Theiviya, Uma Nayar, Suhana Sofea Adam dan Aslina Chua.

Sementara itu, Persatuan Tenis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KLLTA) akan menganjurkan Kejohanan Tenis Terbuka Kuala Lumpur 2017 (KL Open 2017) kali ketujuh atau Pra-Sukan SEA bermula esok hingga Ahad ini.

Ia menyediakan hadiah wang tunai sebanyak RM69,150 dengan penyertaan 218 pemain.

Berita Harian X