Selasa, 15 Ogos 2017 | 1:13am
FEDERER (kanan) dan Nadal. - Foto AFP
FEDERER (kanan) dan Nadal. - Foto AFP

Federer tarik diri, Nadal daki ranking nombor 1

CINCINNATI: Rafael Nadal mengesahkan posisi selaku pemain nombor satu dunia buat pertama kali sejak Julai 2014 hari ini, selepas pemenang 19 kali Grand Slam, Roger Federer menarik diri daripada kejohanan ATP Cincinnati Masters, minggu ini.

Pemain pilihan ketiga, Federer berkata dia mengalami kecederaan di bahagian belakang ketika aksi di Montreal yang menyaksikannya tewas kepada pemain Jerman, Alexander Zverev di pentas final.

Federer yang menjulang dua gelaran Grand Slam tahun ini - Wimbledon dan Terbuka Australia - satu-satunya pemain yang mampu menghalang Nadal untuk berada di posisi berkenaan apabila kedudukan ranking terbaru dikeluarkan.

Pemain berusia 31 tahun dari Sepanyol, Nadal yang memenangi gelaran ke-15 Grand Slam selepas menjuarai Terbuka Perancis akan memintas ranking nombor satu milik pemain Britain, Andy Murray yang menarik diri di Montreal dan Cincinnati susulan kecederaan pinggul.

Begitupun, Federer yang memiliki tujuh gelaran di Cincinnati boleh merampas kedudukan itu di Terbuka Amerika Syarikat yang juga kejohanan terakhir Grand Slam bagi tahun ini, bermula 28 Ogos di New York.

"Saya meminta maaf kerana menarik diri daripada Terbuka Western & Southern (Cincinnati Masters) kerana saya sentiasa seronok bermain di sini," kata Federer.

"Cincinnati mempunyai peminat terbaik di dunia dan maafkan saya dan saya juga pasti akan merindui mereka. Malangnya, saya mengalami kecederaan belakang di Montreal dan saya perlu berehat pada minggu ini."

Nadal yang memegang kedudukan nombor satu dunia selama 141 minggu, berada di ranking berkenaan buat pertama kali pada Ogos 2008 selepas melangkah ke separuh akhir di Cincinnati. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X