Selasa, 15 Ogos 2017 | 3:35pm
PEMAIN badminton negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin. - Foto Osman Adnan
PEMAIN badminton negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin. - Foto Osman Adnan

Iskandar intai gelaran juara KL2017

KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yakin dia mampu menjuarai acara perseorangan lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), namun tidak memandang mudah saingan pemain dari Thailand, Indonesia dan Singapura.

Antara pemain yang bakal mencabar peluangnya adalah dua pemain Indonesia, Jonatan Christie (ranking ke-23 dunia) dan Ihsan Maulana (47), Khosit Phetpradab (40) dan Suppanyu Avihingsanon (57) dari Thailand serta pemain ranking ke-307 dunia, Loh Kean Yew (Singapura).

Juara kebangsaan, yang kini di ranking ke-52 dunia itu berkata, pencabarnya hanya akan diketahui selepas pengundian pada 21 Ogos ini selepas acara berpasukan bermula.

"Lepas itu (undian) bolehlah saya merancang dan menambahbaik strategi yang akan digunakan pada hari pertandingan nanti," katanya kepada Bernama dan kini bebas daripada sebarang kecederaan.

Ditanya mengenai tahap prestasinya, pemain berusia 26 tahun itu berkata, prestasinya sudah semakin stabil dan mantap dengan adanya bantuan ketua jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek.

Iskandar, yang menjalani latihan intensif bersama Misbun sejak lima minggu lalu telah mengenal pasti strategi pencabarnya melalui video perlawanan lawan.

"Saya pernah beraksi menentang ramai pemain yang akan beraksi di KL2017, ada yang pernah menang dan juga tewas tapi yang saya yakin dengan bantuan Misbun, saya mampu buat yang terbaik," katanya.

Berdasarkan rekod, Iskandar pernah mengalahkan Khosit Phetpradab di Terbuka Taiwan 2016, menang ke atas Suppanyu Avihingsanon di Terbuka Sri Lanka 2014.

Dia juga menang dua kali ke atas Ihsan Maulana di Terbuka Indonesia 2010 dan 2012 serta kalah sekali di Terbuka Malaysia 2014 dan menewaskan Loh di Terbuka Indonesia 2013.

Bagaimanapun, Iskandar belum pernah berjumpa dengan Jonatan Christie. - Bernama

Berita Harian X