Sabtu, 19 Ogos 2017 | 1:17pm
KAROLINA Pliskova berjaya mengukuhkan posisi di ranking nombor satu dunia selepas mara ke separuh akhir Cincinnati Masters. - Foto AFP
KAROLINA Pliskova berjaya mengukuhkan posisi di ranking nombor satu dunia selepas mara ke separuh akhir Cincinnati Masters. - Foto AFP

Pliskova mara separuh akhir Cincinnati Masters

CINCINNATI: Penyandang juara, Karolina Pliskova mengukuhkan posisi di ranking nombor satu dunia selepas mengalahkan pilihan kelima, Caroline Wozniacki dan pemain kelayakan, Camila Giorgi, untuk melangkah ke separuh akhir Cincinnati Masters.

Pemain kelahiran Republik Czech berusia 25 tahun itu, ketika ini sedang berusaha keras mengekalkan kedudukan teratas dunia miliknya yang sedang dihambat jaguh Romania, Simona Halep.

Selepas menewaskan pemain kelayakan dari Itali, Giorgi 6-3, 4-6, 6-0, aksi yang sebelum ini tertangguh susulan hujan, Pliskova turun ke gelanggang dua jam kemudian untuk menyingkirkan pemain Denmark, Wozniacki 6-2, 6-4 bagi menempah aksi dengan juara Wimbledon, Garbine Muguruza.

Empat pencabar mampu mengatasi ranking Pliskova pada minggu ini, namun satu-satunya yang masih bertahan ialah Halep yang dijadual menentang pemain Britain, Johanna Konta di peringkat suku akhir selepas ini.

Dengan kemenangan berganda Pliskova, Halep kini mesti menjuarai Cincinnati Masters seandainya ingin berada di ranking teratas ketika senarai baharu dikeluarkan pada minggu depan.

Turut terpaksa beraksi dua perlawanan sehari menjelang kempen Grand Slam terakhir musim ini, Terbuka Amerika Syarikat ialah bintang Sepanyol, Rafael Nadal yang sah kembali ke posisi nombor satu dunia apabila senarai ranking terbaharu dikeluarkan, Isnin ini.

Nadal yang juga juara 15 kali Grand Slam selepas memenangi Terbuka Perancis ke-10, Jun lalu sah mengambil alih kedudukan nombor satu daripada Andy Murray selepas Roger Federer menarik diri daripada beraksi di Cincinnati susulan kecederaan. - AFP

Berita Harian X