Rabu, 23 Ogos 2017 | 7:01pm
PASANGAN Jawairiah Noordin-S Theiviya melangkah ke separuh akhir acara beregu tenis wanita di Pusat Tenis Nasional. - Foto Hafiz Sohaimi

KL2017: Jawairiah-Theiviya pastikan gangsa

KUALA LUMPUR: Tenis Malaysia mencatat sejarah tersendiri hari ini apabila pasangan Jawairiah Noordin-S Theiviya melangkah ke separuh akhir acara beregu wanita di Pusat Tenis Nasional.

Jawairiah-Theiviya memastikan sekurang-kurangnya pingat gangsa, penamat podium pertama dalam acara bukan berpasukan, sejak kali terakhir dilakukan Si Yew Meng-Khoo Chin Bee pada temasya Vietnam 2003.

Pasangan negara itu mengetepikan cabaran beregu Vietnam, Nguyen Tu Kim Ngan-Ngoc Si Boi 6-4, 6-7 (5-7), 10-7 di pentas suku akhir dan akan berdepan pilihan utama dari Thailand, Nicha Lertpitaksinchai-Peangtarn Plipuech untuk merebut tempat ke final.

"Gembira dalam mencatat sejarah kecil sukan tenis negara tetapi misi kami belum berakhir. Kami berdepan pilihan utama esok... kami akan cuba lakukan sesuatu," kata Theiviya.

"Kami memerlukan perancangan strategi terbaik kerana pasangan Thailand itu menduduki ranking yang agak tinggi dalam Jelajah ATP."

Cabaran Malaysia dalam acara perseorangan wanita berakhir di suku akhir apabila Aslina Chua tewas 6-0, 6-3 kepada pilihan keempat dari Kemboja, Andrea Ka.

Berita Harian X