Sabtu, 9 September 2017 | 11:45am
RAFAEL Nadal membalas pukulan Juan Martin del Potro pada aksi separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat. - Foto AFP
RAFAEL Nadal membalas pukulan Juan Martin del Potro pada aksi separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat. - Foto AFP

Nadal ke final Terbuka AS

NEW YORK: Rafael Nadal hanya dipisahkan satu lagi perlawanan bagi merekodkan gelaran ketiga Terbuka Amerika Syarikat dan kejuaraan Grand Slam ke-16 selepas dia menewaskan Juan Martin del Potro 4-6, 6-0, 6-3, 6-2 dalam aksi separuh akhir, sebentar tadi.

Pemain berusia 31 tahun yang juga juara edisi 2010 dan 2013 akan beraksi buat kali ke-23 di pentas final Grand Slam dan ketiga tahun ini dengan misi menambah koleksi kejuaraan Terbuka AS.

Dalam aksi final esok, pemain nombor satu dunia itu akan berdepan pemain ranking ke-32, Kevin Anderson - pemain Afrika Selatan pertama mara ke final Terbuka AS dalam tempoh 52 tahun.

Anderson mara buat kali pertama ke final kejohanan utama selepas menewaskan pemain Sepanyol, Pablo Carreno Busta 4-6, 7-5, 6-3, 6-4.

Nadal berkata kunci utama kejayaannya menumbangkan Del Potro adalah perubahan taktikal yang dilakukannya selepas aksi set pertama.

"Saya bermain terlalu banyak ke pukulan kilasnya dan saya berasa dia menunggu saya di sana. Saya menukarnya dan ia memberi kesan yang positif.

"Saya membuatkan dia lebih banyak bergerak dan menjadikan ia sukar untuk dibaca," kata Nadal selepas kemenangan ke-15 berturut-turut dalam aksi separuh akhir Grand Slam.

Walaupun mempunyai rekod cemerlang ke atas Anderson apabila dia menang semua empat pertemuan sebelum ini, namun Nadal enggan memandang rendah kemampuan lawannya di pentas final itu.

"Dia seorang pemain yang bahaya dengan pukulan servis yang baik dan bermain dengan baik di permukaan ini. Saya mengenalinya sejak kami berusia 12 tahun.

"Dia mengalami banyak kecederaan tetapi kebangkitannya cukup menakjubkan. Ia adalah contoh terbaik untuk pemain lain," kata Nadal. - AFP

Berita Harian X