Selasa, 10 Oktober 2017 | 8:04pm
KETUA jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng harap anak buahnya dapat mengekalkan rentak cemerlang mereka bagi berdepan Poland sekali gua layak ke kelompok lapan terbaik. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Malaysia tepati ramalan juara Kumpulan C1

KUALA LUMPUR: Malaysia muncul juara Kumpulan C1 saingan berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Dunia selepas melakar kemenangan kedua ke atas New Zealand 5-0 di Yogyakarta, Indonesia sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad remaja negara akan membuat perhitungan dengan juara Kumpulan C2, Poland bagi perebutan tempat ke suku akhir jam 7 malam ini.

Ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng, berharap anak buahnya dapat mengekalkan rentak cemerlang mereka bagi berdepan Poland sekali gua layak ke kelompok lapan terbaik.

"Saya harap pemain terus kekal fokus. Kalau kita tengok hari ini kita menurunkan barisan pemain yang berbeza berbanding semalam ketika menentang Armenia bagi memberi peluang semua pemain beraksi.

"Ini penting untuk mereka menyesuaikan diri dengan suasana kejohanan dan menjadikan mereka lebih bersedia," kata Yoke Meng ketika dihubungi di Yogyakarta.

Malaysia menurunkan barisan pemain berbeza pada pertemuan dengan New Zealand yang menyaksikan juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei dan juara remaja Asia 2017, Leong Jun Hao direhatkan.

Pemain perseorangan lelaki, Sim Fung Hau, Eoon Qi Xuan (perseorangan wanita), Kwek Yee Jian-Man Wei Chong (beregu lelaki), Tan Sueh Jeou-Toh Ee Wei (beregu wanita) dan Chang Yee Jun-Pearly Tan (beregu campuran) masing-masing berjaya menyumbangkan mata buat skuad negara.

Berita Harian X