Rabu, 18 Oktober 2017 | 12:41pm
Rafael Nadal menderita kesakitan disebabkan tekanan berlebihan ke atas lutut dan masalah itu sudah pun ada ketika kejohanan di Shanghai. - Foto AFP
Rafael Nadal menderita kesakitan disebabkan tekanan berlebihan ke atas lutut dan masalah itu sudah pun ada ketika kejohanan di Shanghai. - Foto AFP
PEMAIN tenis Sepanyol, Rafael Nadal mengumumkan tidak menyertai kejohanan di Switzerland susulan kecederaan lutut yang dialaminya. - Foto AFP
PEMAIN tenis Sepanyol, Rafael Nadal mengumumkan tidak menyertai kejohanan di Switzerland susulan kecederaan lutut yang dialaminya. - Foto AFP

Nadal tarik diri, peluang Federer rampas nombor 1

MADRID: Rafael Nadal mengumumkan tidak menyertai kejohanan di Switzerland bulan ini, sekaligus mencerahkan peluang seteru utama, Roger Federer untuk menamatkan kempen tahun ini selaku pemain nombor satu dunia.

Hari ini, pemenang 16 kali gelaran Grand Slam itu menggunakan laman sosial Facebook untuk mengumumkan dia tidak beraksi di kejohanan pada 21 hingga 29 Oktober ini, susulan kecederaan lutut.

"Saya dengan sedihnya mengumumkan terpaksa menarik diri daripada kejohanan Tertutup Swiss Basel selepas berjumpa dengan doktor saya di Sepanyol," katanya.

Federer menewaskan bintang tenis Sepanyol itu di Shanghai Masters, Ahad lalu untuk merapatkan jurang di kedudukan teratas ranking dunia ATP.

Federer kini dibezakan dengan 1,960 mata daripada Nadal dengan 500 mata ditawarkan di Basel diikuti kejohanan tertutup di Bercy, Paris dan kejohanan penutup tirai ATP Final di London.

Roger Federer (kiri) menewaskan Rafael Nadal di Shanghai Masters, Ahad lalu untuk merapatkan jurang di kedudukan teratas ranking dunia ATP. - Foto REUTERS
Roger Federer (kiri) menewaskan Rafael Nadal di Shanghai Masters, Ahad lalu untuk merapatkan jurang di kedudukan teratas ranking dunia ATP. - Foto REUTERS

Nadal berkata, dia bertemu dengan doktornya sejurus pulang dari China.

"Saya menderita kesakitan disebabkan tekanan berlebihan ke atas lutut dan masalah itu sudah pun ada ketika kejohanan di Shanghai yang memaksa saya mengambil sedikit masa rehat selepas nasihat doktor.

"Selepas dua minggu yang hebat di China, dengan gelaran di Beijing dan final di Shanghai, ini masanya untuk mendapatkan sedikit rehat.

"Saya mahu memberikan mesej kepada peminat tenis di Switzerland yang sentiasa menunjukkan sokongan yang kuat dan menghormati perlawanan saya dengan Roger. Harap untuk berjumpa kami tahun depan."

Federer tampil dengan prestasi menakjubkan apabila menewaskan Nadal 6-4, 6-3, Ahad lalu sekali gus menjulang trofi keenamnya musim ini. - AFP

Berita Harian X