Rabu, 8 November 2017 | 10:58pm
BEREGU Malaysia, Chan Peng Soon (kiri) dan Cheah Yee See, kembali mencatat kemenangan untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Macau, hari ini selepas menewaskan beregu Indonesia, Yantoni Edy Saputra-Marsheilla Gisca Islami 21-13, 21-14. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Peng Soon-Yee See mara ke pusingan kedua

KUALA LUMPUR: Susulan persembahan mengecewakan di Eropah bulan lalu, beregu campuran negara Chan Peng Soon-Cheah Yee See gembira apabila kembali mencatat kemenangan untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Macau, hari ini.

Dalam pusingan pembukaan di Tap Seac Multisport Pavilion, Peng Soon-Yee See menewaskan beregu Indonesia, Yantoni Edy Saputra-Marsheilla Gisca Islami 21-13, 21-14 dan akan bertemu pemain negara, Mohamad Arif Abdul Latif yang bergandingan dengan Rusydina Antardayu Riodingin dari Indonesia.

Peng Soon-Yee See tersekat seawal pusingan pertama di Terbuka Denmark dan Terbuka Belanda bulan lalu."Kami gembira menang kerana selepas terkeluar awal di Eropah pada bulan lalu, kami kurang keyakinan.

"Harapan kami dapat kembali temui rentak kemenangan di sini.

"Esok kami akan bertemu Arif dan Rusydina yang kami tidak pernah bertemu sebelum ini. Yee See dan saya akan cuba melakukan yang terbaik," kata Peng Soon.

Sementara itu, satu lagi beregu negara, Hoo Pang Ron-Peck Yen Wei juga beraksi baik untuk melayakkan diri ke pusingan kedua selepas mencatatkan kemenangan 21-15, 21-18 kepada beregu Taiwan, Yang Po Hsuan-Wen Hao Yun.

Beregu negara itu bagaimanapun akan berdepan saingan berliku apabila bertemu pilihan keenam, Seon Seung Jae-Kim Ha Na dari Korea Selatan selepas ini.

Dalam acara perseorangan wanita, Ho Yen Mei menewaskan Rusydina 21-17, 21-10 dan akan bertemu pemain dari pusingan kelayakan, Lee Min Ji dari Korea Selatan.

Beregu wanita, Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen yang diletakkan pilihan keempat menewaskan beregu Taiwan, Lin Xiao Min-Wu Fang Chien 19-21, 21-17, 21-16. Mereka akan bertemu beregu Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee Yu Rim di pusingan kedua.

Berita Harian X