Khamis, 23 November 2017 | 9:09pm
PEMAIN perseorangan lelaki, Zulfadli Zulkiffli perlu diberi peluang oleh BAM. - Foto Owee Ah Chun

Zulfadli wajar disenaraikan dalam skuad Piala Thomas

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek berpendapat Zulfadli Zulkiffli wajar diberi peluang berada dalam skuad negara menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Kedah, Februari depan yang juga pusingan kelayakan ke Piala Thomas 2018.

Rashid berkata, berdasarkan prestasi semasa semua pemain perseorangan lelaki, Zulfadli yang bergerak secara profesional antara empat terbaik yang dimiliki Malaysia ketika ini selain Datuk Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Lee Zii Jia.

"BAM (Persatuan Badminton Malaysia) perlu bagi peluang kepada Zulfadli. Namun, Zulfadli pun perlu ikut syarat yang ditetapkan BAM termasuk menjalani latihan bersama badan induk itu.

"Inilah empat pemain terbaik ketika ini yang saya nampak boleh menggalas tugas untuk skuad negara. Kita mahukan semua pemain yang disenaraikan bersedia diturunkan pada bila-bila masa dan tidak gentar," kata Rashid.

Zulfadli semalam mengakui dia seolah-olah sudah berpatah hati untuk mewakili Malaysia dalam saingan Piala Thomas selepas sering diketepikan biarpun layak disenaraikan dalam pasukan.

Justeru, bekas juara dunia 2011 itu enggan lagi terlalu memikirkan mengenai peluang bagi membarisi skuad negara, sebaliknya mahu fokus dalam kejohanan individu.

Ditanya adakah naib juara remaja dunia 2017, Leong Jun Hao juga perlu dipertimbangkan beraksi dalam skuad negara, Rashid berkata masih terlalu awal buat pemain berusia 18 tahun itu disenaraikan.

"Saya fikir belum masanya lagi Jun Hao beraksi dalam skuad negara. Bukan sebab dia tidak bagus, tetapi dia masih kurang pengalaman beraksi dalam kejohanan besar seperti ini.

"Kalau sekadar mahu menyenaraikan dia sebagai perseorangan keempat dan duduk di bangku simpanan saja, saya fikir tidak perlu. Kita perlukan pemain perseorangan keempat yang bersedia pada bila-bila masa diturunkan terutama dalam perlawanan penting," katanya.

Pusingan akhir Piala Thomas dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand Mei depan.

Berita Harian X