Jumaat, 1 Disember 2017 | 10:50pm
PEMAIN beregu campuran negara, Goh Liu Ying (kiri) dan Chen Tang Jie (kanan) terus cemerlang apabila menyingkirkan gandingan campuran dari Malaysia dan India, K Yogendran-Prajakta Sawant 21-19, 20-22, 21-15 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 49 minit. - Foto Luqman Hakim Zubir

Bumi India terus bawa tuah buat Tang Jie-Liu Ying

KUALA LUMPUR: Bumi India terus membawa tuah buat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Goh Liu Ying.

Selepas merangkul gelaran juara pada saingan Siri Antarabangsa di Hyderabad, minggu lalu, Tang Jie-Liu Ying kini semakin hampir untuk merekodkan kejuaraan kedua selepas mengesahkan tempat ke separuh akhir Cabaran Antarabangsa India di Mumbai, hari ini.

Pasangan yang mula digandingkan sejak Oktober lalu itu terus cemerlang apabila menyingkirkan gandingan campuran dari Malaysia dan India, K Yogendran-Prajakta Sawant 21-19, 20-22, 21-15 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 49 minit.

"Saya dengan Tang Jie semakin serasi di dalam gelanggang tetapi masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Selepas dua kejohanan saya kembali mendapat semula rentak dan akan cuba untuk meningkatkan prestasi," kata Liu Ying ketika dihubungi di Mumbai, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan Tang Jie-Liu Ying akan berdepan pasangan Hong Kong, Chang Tak Ching-Ng Wing Yung bagi perebutan tempat ke final, esok.

"Saya jangkakan kami akan berdepan cabaran sukar esok kerana lawan kami bermain dengan baik. Jadi, kami perlu kekal fokus dan berikan aksi terbaik...diharapkan kami catat keputusan yang positif nanti," kata Liu Ying yang memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016 bersama Chan Peng Soon.

Peng Soon-Liu Ying terpaksa dipisahkan sementara sejak Mei lalu susulan pembedahan bahu yang dijalankan Liu Ying. Namun, mereka dijangka kembali bergandingan bermula ketika saingan Malaysia Masters, bulan depan.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Peck Yen Wei turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan gandingan India, S Sunjith-Srithi K P 21-14, 21-18.

Mereka akan berdepan pasangan Hong Kong, Mak Hee Chun-Yeung Nga Ting untuk merebut tempat ke final, esok.

Pemain perseorangan wanita negara, M Thinaah turut mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan Yeo Jia Min dari Singapura 21-14, 14-21, 21-16 dan akan bertemu pilihan kelapan dari India, Gadde Ruthvika Shivani.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi seorang lagi perseorangan wanita negara, Lim Yin Fun yang tewas kepada Riya Mukherjee dari India 19-21, 19-21.

Berita Harian X