Ahad, 3 Disember 2017 | 1:58am
PEMAIN beregu Negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik mara ke final Cabaran Antarabangsa India di Mumbai, hari ini.

Aaron-Wooi Yik mara ke final Cabaran Antarabangsa India

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi wakil tunggal Malaysia yang mara ke final Cabaran Antarabangsa India di Mumbai selepas melepasi halangan di peringkat separuh akhir, hari ini.

Pasangan muda negara itu yang menghuni ranking ke-563 dunia, cemerlang apabila bangkit selepas tewas di set pertama bagi mencatat kemenangan 10-21, 21-12, 21-10 ke atas beregu Hong Kong, Chan Tsz Kit-Chang Tak Chin.

Mereka akan bertemu pemenang perlawanan antara beregu Thailand, Maneepong Jongjit-Nanthakarn Yordphaisong dengan pilihan kedua kejohanan dari India, Manu Attri-B Sumeeth Reddy untuk perebutan gelaran juara, esok.

Sementara itu, harapan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Goh Liu Ying untuk merekodkan gelaran kedua selepas memenangi Siri Antarabangsa India, minggu lalu tidak kesampaian apabila tewas kepada Chang Tak Ching-Ng Wing Yung 16-21, 15-21 dalam aksi separuh akhir.

Satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Peck Yen Wei turut gagal melangkah ke final selepas tunduk di tangan pasangan Hong Kong, Mak Hee Chun-Yeung Nga Ting 12-21, 22-24.

Pemain perseorangan wanita negara, M Thinaah turut terkandas di separuh akhir susulan kekalahan di tangan pilihan kelapan kejohanan dari India, Gadde Ruthvika Shivani 17-21, 9-21.

Berita Harian X