Ahad, 24 Disember 2017 | 5:53pm
KETUA jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengakui pemain terpilih beraksi di kelayakan Piala Thomas, Februari depan membabitkan mereka yang mampu menggalas tugas. - Foto Saifullizan Tamadi

Hanya yang mampu menggalas tugas - Misbun

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengakui pemain terpilih beraksi di kelayakan Piala Thomas di Alor Setar, Februari depan membabitkan mereka yang mampu menggalas tugas.

Menurutnya, paling penting buatnya sekarang adalah menyediakan barisan pemain yang mantap dan berkemungkinan mencampurkan pemain senior serta muda.

"Bayangan itu sudah ada, ini kerana kita sudah tahu siapa yang boleh menggalas tugas berkenaan. Jadi selepas ini saya akan serahkan senarai nama kepada Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (Presiden Persatuan Badminton Malaysia)," katanya yang juga legenda negara.

Ujarnya, selepas senarai nama berkenaan diberikan kepada Norza, ia akan dibawa pula ke Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T).

Berdasarkan maklumat terkini, badan induk itu dijadualkan bakal mengadakan mesyuarat C&T sulung untuk 2018 pada 4 Januari dan dijangka bakal membincangkan mengenai penyenaraian pemain ke kelayakan Piala Thomas serta Piala Uber.

"Itu gambarannya (campuran pemain senior dan muda). Paling penting kita mahu membariskan barisan mantap," kata Misbun.

DATUK Misbun Sidek (kanan) ketika mengendalikan latihan pemain perseorangan badminton negara. - Foto Saifullizan Tamadi

Kejohanan Badminton Berpasukan Asia yang dijadikan kelayakan Piala Thomas dan Uber akan diadakan pada 6 hingga 11 Februari.

Ditanya mengenai perubahan struktur kejurulatihan, Misbun mengakui perkara itu masih belum pasti dan buat masa sekarang mereka hanya mengikut landasan sedia ada.

"Kita mengharapkan sesuatu yang positif daripada skuad perseorangan lelaki. Kalau boleh macam mana sekalipun kita mahu mencari pemain sehebat Datuk Lee Chong Wei. Ia satu kemahuan drastik dan sukar, tapi rata-rata negara lain turut menampilkan pemain hebat termasuk menggunakan tenaga jurulatih import.

"Platform kita perlu diperkuatkan dengan barisan pemain sedia ada. Sebagai ketua jurulatih saya akan cuba mengkaji dan menganalisa apa yang dilalui dan belajar dulu. Saya sertai BAM kerana ingin memperkuatkan perseorangan kita," kata Misbun.

Berita Harian X