Jumaat, 29 Disember 2017 | 7:22pm
PEMAIN beregu Malaysia, Goh V. Shem (belakang) dan Tan Wee Kiong ketika menentang pemain Hong Kong, Chung Ching Or dan Tang Chun Man pada aksi Kejohanan Terbuka Malaysia 2017 Celcom axiata di Stadium Perpaduan Negeri Petra Jaya Kuching. - Foto Nadim Bokhari
PEMAIN beregu Malaysia, Goh V. Shem (belakang) dan Tan Wee Kiong ketika menentang pemain Hong Kong, Chung Ching Or dan Tang Chun Man pada aksi Kejohanan Terbuka Malaysia 2017 Celcom axiata di Stadium Perpaduan Negeri Petra Jaya Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Beregu sedia galas tanggungjawab

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki sedia menggalas tanggungjawab penting buat skuad negara menjelang Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Februari depan yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas 2018.

Pemain beregu lelaki, Goh V Shem berkata, bukan sesuatu yang mustahil buat acara beregu menyumbangkan dua mata kepada pasukan jika semua mampu beraksi pada tahap terbaik.

V Shem dan pasangannya Tan Wee Kiong serta Teo Ee Yi-Ong Yew Sin hampir pasti menggalas tugas sebagai beregu pertama dan kedua pada kejohanan berpasukan itu yang menyaksikan empat pasukan mara ke separuh akhir layak secara automatik ke Piala Thomas 2018 di Bangkok, Mei depan.

"Jika kami buat persiapan terbaik, sudah pasti kami boleh berikan aksi terbaik. Peluang bagi beregu menyumbang dua mata tetap ada dan ia bukan sesuatu yang mustahil.

"Saya dan Wee Kiong sudah kembali bersama, komunikasi kami juga bertambah baik. Diharapkan kami boleh menterjemahkan apa yang kami lakukan dalam latihan pada perlawanan sebenar nanti.

"Ee Yi-Yew Sin pula saya lihat mereka sudah capai standard yang tinggi, jadi mereka boleh memberi ancaman kepada setiap lawan mereka," kata V Shem ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini, hari ini.

Ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit semalam enggan memberi tekanan kepada anak buahnya biarpun mereka dilihat prospek terbaik bagi skuad negara meraih dua mata selain mengharapkan satu mata disumbang menerusi jaguh perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei.

Berdasarkan ranking dunia, Ee Yi-Yew Sin yang menghuni tangga ke-23 adalah pasangan nombor satu Malaysia manakala V Shem-Wee Kiong yang terpisah selama tiga bulan sebelum digandingkan semula berada di kedudukan ke-29 sekali gus beregu kedua terbaik negara.

Namun, kedudukan itu dijangka berubah berdasarkan prestasi mereka dalam dua kejohanan awal tahun depan iaitu Masters Thailand dari 9 hingga 14 Januari dan Masters Malaysia dari 16 hingga 21 Januari.

"Bagi saya dan Wee Kiong, kami letak sasaran awal untuk mara ke suku akhir dalam dua kejohanan itu. Kami sudah tiga bulan tidak beraksi bersama dan perlukan masa untuk mendapat rentak semula. Namun, saya harap sesuatu yang lebih positif boleh kami raih dalam dua kejohanan itu," kata V Shem yang memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016 bersama Wee Kiong.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X