Sabtu, 30 Disember 2017 | 6:07pm
PEMAIN badminton lelaki perserangan negara, Datuk Lee Chong Wei tegaskan pemain perseorangan profesional, Zulfadli Zulkifli perlu menyertai latihan bersama skuad kebangsaan jika berhasrat mewakili Malaysia pada Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, Februari depan. - Foto Owee Ah Chun

Mesti berlatih dengan BAM: Chong Wei

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei menegaskan pemain perseorangan profesional, Zulfadli Zulkifli perlu menyertai latihan bersama skuad kebangsaan jika berhasrat mewakili Malaysia pada Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, Februari depan yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas 2018.

Walaupun mengakui tahap permainan bekas juara remaja dunia 2011 itu hampir sama dengan pemain kebangsaan yang lain di bawah naungan Persatuan Badminon Malaysia (BAM), namun Chong Wei merasakan tahap kecergasan Zulfadli masih belum cukup tinggi.

"Saya ada berbincang mengenai perkara ini dengan Datuk Misbun Sidek (ketua jurulatih perseorangan lelaki). Pada pendapat saya, jika Zulfadli mahu mewakili Malaysia dalam kejohanan ini, dia perlu menyertai latihan bersama skuad kebangsaan, tetapi ia bukanlah jaminan untuk dia terus mendapat tempat sebaliknya perlu melalui proses pemilihan.

"Kita perlu berlaku adil kepada semua pemain. Kita perlu tengok sama ada dia boleh atau tidak mengikuti program latihan skuad kebangsaan. Kita tidak boleh pilih pemain sembarangan terutama membabitkan pemain di luar skuad kebangsaan kerana ini adalah kepentingan negara.

"Saya fikir BAM dan barisan jurulatih juga mengalu-alukan kedatangan Zulfadli untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan. Jika dia betul-betul mahu bermain dalam Piala Thomas, dia perlu buktikan dia boleh ikut semua program latihan kita dan kita mahu tengok sejauh mana tahap dia.

"Di luar dia tidak cukup rakan sepelatih, tetapi di BAM boleh dapat semua itu," kata Chong Wei.

Namun, Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali, berkata dia bukan memaksa Zulfadli untuk menyertai BAM secara tetap tetapi hanya untuk persiapan menghadapi pusingan kelayakan Piala Thomas.

Kedudukan Chong Wei dan pemain perseorangan kedua, Lee Zii Jia yang ketika ini sudah pasti disenaraikan dalam skuad negara, persaingan kini terarah bagi merebut slot selaku perseorangan ketiga dan keempat.

Zulfadli perlu bersaing dengan beberapa pemain BAM seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soong Joo Ven, Leong Jun Hao dan Lim Chi Wing bagi menempat diri dalam skuad negara.

Berdasarkan kedudukan ranking, Zulfadli ketika ini adalah perseorangan ketiga terbaik negara apabila menghuni kedudukan ke-44 dunia di belakang Chong Wei (2) dan Zii Jia (42).

Bagaimanapun, Chong Wei menjelaskan pemilihan tidak semestinya dibuat berdasarkan kedudukan ranking dunia kerana faktor yang paling penting adalah pemain itu mempunyai watak sebagai pejuang bagi berdepan setiap lawan yang bakal dihadapi.

"Ini adalah kejohanan berpasukan dan penting untuk kita memiliki pemain yang ada watak pejuang. Boleh berjuang demi pasukan....saya fikir barisan jurulatih akan buat keputusan terbaik mengenai siapa yang layak disenaraikan dalam pasukan," kata Chong Wei yang membantu Malaysia muncul naib juara Piala Thomas 2014 di New Delhi, India.

Berita Harian X