Ahad, 31 Disember 2017 | 6:35pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Zulfadli Zulkifli tak perlu beri pelbagai alasan jika dipanggil menjalani pemilihan bersama skuad kebangsaan. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Zulfadli perlu sedar diri

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional, Zulfadli Zulkifli perlu sedar diri dan manfaatkan peluang untuk membuktikan kemampuanya jika berhasrat mewakili Malaysia pada Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, Februari depan yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas 2018.

Bekas juara Seluruh England 2003, Muhamad Hafiz Hashim, berkata Zulfadli seharusnya tidak memberi pelbagai alasan jika dipanggil menjalani pemilihan bersama skuad kebangsaan sebaliknya menunjukkan komitmennya jika benar-benar mahu menyarung jersi Malaysia pada kejohanan berprestij itu.

"Ini adalah isu besar kerana kita akan bermain mewakili negara dalam kejohanan besar. Jadi, Zulfadli perlu gunakan peluang yang ada jika dipanggil ke sesi pemilihan untuk membuktikan dia benar-benar layak mewakili negara.

"Saya tidak pasti apa yang akan menghalang dirinya, tetapi kalau saya di tempat dia, saya tidak akan ada masalah untuk menyertai latihan bersama skuad kebangsaan. Tidak salah untuk memberi peluang kepada diri sendiri...inilah masanya untuk dia buktikan.

"Dia tidak boleh hanya bercakap mahu mewakili Malaysia tetapi masih mahu menjalani latihan di luar. Selama dia berada di luar, dia masih gagal menghasilkan keputusan yang cemerlang. Jadi, Zulfadli perlu sedar diri dan manfaatkan semua peluang yang ada," kata Hafiz ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menegaskan Zulfadli perlu menyertai latihan bersama skuad kebangsaan jika berhasrat mewakili Malaysia pada kejohanan di Alor Setar seterusnya ke pusingan akhir di Bangkok jika layak.

Bagaimanapun, pemain nombor dua dunia itu, berkata ia bukanlah jaminan untuk dia terus mendapat tempat sebaliknya perlu melalui proses pemilihan untuk berlaku adil kepada pemain termasuk di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Mengulas lanjut, Hafiz yang akan memulakan tugas sebagai jurulatih badminton remaja negara di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Selasa ini, berkata dia sendiri menyertai latihan bersama skuad kebangsaan ketika dipanggil bagi persiapan ke Piala Thomas 2012 di Wuhan, China biarpun ketika itu sudah bergerak secara profesional selepas meninggalkan BAM pada 2011.

"Saya sedar yang ini adalah kejohanan besar dan saya perlu persiapkan diri pada tahap terbaik. Hanya dengan menjalani bersama skuad kebangsaan saya dapat kualiti latihan yang diperlukan. Lagipun, BAM adalah tempat terbaik untuk kita meningkatkan prestasi dan mempunyai kemudahan diperlukan," katanya.

Berita Harian X