Isnin, 1 Januari 2018 | 7:41pm
KETUA Jurulatih Badminton Perseorangan Negara, Datuk Misbun Sidek akui belum ada rancangan memanggil pemain luar termasuk Zulfadli Zulkiffli untuk beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, Februari depan. - Foto Saifullizan Tamadi

Belum rancang panggil Zulfadli: Misbun

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek belum mempunyai rancangan memanggil pemain luar termasuk Zulfadli Zulkiffli untuk beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, Februari depan yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas 2018.

Bagaimanapun beliau menegaskan masih lagi mengamalkan sikap terbuka untuk menerima kehadiran pemain dari luar Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Cuma ia terlintas di kepala saya sebelum ini (pengambilan pemain profesional) tapi apabila kita mengamalkan sikap terbuka bagaimana pula mereka hendak menerima latihan yang sedang kita jalankan," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Jelasnya, apa yang merisaukannya ialah kesanggupan pemain luar untuk bekerja keras bersama-sama dengan wakil BAM.

"Ini bukan kejohanan yang mementingkan individu tapi berpasukan, semua perlu mengambil peranan. Memang kita tahu pemain di luar sana seperti Liew Daren, Chong Wei Feng dan Zulfadli memiliki kaliber," kata Misbun.

Kenyataan yang diberikan Misbun itu seakan memberi bayangan awal bahawa kesemua pemain ke kejohanan berkenaan adalah dari BAM termasuk acara beregu lelaki.

"Kita kena tunggu mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) selesai dulu. Saya tidak boleh pandai-pandai buat kenyataan di sini.

"Ini adalah kenyataan dan pengumuman yang penting, biar saya ajukan senarai nama kepada presiden (Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria), selepas diterima sebulat suara barulah ia diumumkan," katanya.

Norza dijangka mengumumkan senarai pemain ke kejohanan berkenaan sejurus mesyuarat C&T, Khamis ini.

Berdasarkan latihan pagi tadi, antara pemain yang dijangka dibariskan dalam skuad berkenaan bersama Datuk Lee Chong Wei ialah Lee Zii Jia, Soong Joo Ven, Lim Chi Wing atau Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

31 dibaca
Berita Harian X