Rabu, 3 Januari 2018 | 6:29pm
TIGA perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei (tengah), Lee Zii Jia (kiri) dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin bakal ketuai pasukan dalam Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakan Piala Thomas).

Chong Wei, Zii Jia, Iskandar ketuai skuad negara?

Kuala Lumpur: Tiga perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin sudah pasti akan tersenarai dalam skuad ke Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakan Piala Thomas) yang bakal diumumkan Persatuan Badminton Malaysia esok selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatih & Latihan (C&T).

Turut bersetuju dengan pendapat berkenaan ialah bekas pemain perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim dan beliau juga menjangkakan badan induk berkenaan akan menyenaraikan juara remaja Asia, Leong Jun Hao sebagai perseorangan keempat.

"Chong Wei sudah pasti akan tersenarai dan bayangan awal kita melihat Zii Jia juga berpeluang. Sekarang kita tidak tahu siapa pemain ketiga, tapi kita boleh tolak ketepi pemain dari luar BAM seperti Zulfadli Zulkifli, Liew Daren serta Chong Wei Feng," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas bekas pemain nombor satu dunia itu, antara nama yang bermain di fikirannya selepas Chong Wei dan Zii Jia, ialah Iskandar Zulkarnain, Leong Jun Hao, Lim Chi Wing dan Soong Joo Ven.

"Tengok dari segi pengalaman memang Iskandar ada peluang untuk disenaraikan dan selepas itu saya rasa Jun Hao kerana prestasinya lebih baik berbanding Joo Ven dan Chi Wing. Persembahannya di dalam gelanggang juga saya tengok sangat berani walaupun kurang dari segi pengalaman.

"Chi Wing pula tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan tahun lalu sekadar juara kebangsaan tapi tiada kejayaan di luar," katanya yang pernah beraksi di Piala Thomas dari 1998 hingga 2004.

Roslin juga mengakui tidak sukar untuk membuat ramalan bagi senarai pemain beregu lelaki, di mana Goh V Shem-Tan Wee Kiong sudah pasti akan tersenarai walaupun berdasarkan ranking mereka di bawah gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

"Ikut urutan, Yew Sin-Ee Yi dan diikuti dengan V Shem-Wee Kiong. Seorang lagi pemain simpanan untuk beregu mungkin Chan Peng Soon (beregu campuran) atau antara Chooi Kah Ming, Low Juan Shen, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani," katanya.

Ditanya mengenai peluang skuad kali ini menjelang Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar (6 hingga 11 Februari), Roslin mengakui ia agak sukar buat mereka untuk pergi lebih jauh.

"Kita jangan melihat kepada ranking pemain tapi kekuatan pasukan iaitu perseorangan kedua atau beregu kedua menentang siapa, kerana berdasarkan prestasi kita tahu siapa akan jumpa siapa. Sekarang semua itu bergantung kepada prestasi pemain itu sendiri, adakah yang akan diturunkan nanti sudah bersedia

"Pemain itu sendiri juga akan tahu siapa yang akan ditentangnya, berdasarkan ranking. Jadi prestasi dan persediaan harus dititikberatkan serta berikan komitmen sepenuhnya buat pemain yang terpilih. Selepas nama pemain diumumkan esok, jangan pula ada yang ambil mudah dengan alasan kejohanan itu masih lambat lagi untuk diadakan.

"Semua harus memainkan peranan, jurulatih, pengurusan dan pemain, kerana kita tidak boleh gagal (melayakkan diri). Kalau tidak ia akan menjadi sejarah, kita tidak mahu perkara ini terjadi walaupun ini adalah pasukan paling lemah. Ia tidak bermakna kita akan gagal, semua yang terbabit harus mainkan peranan," katanya.

Berita Harian X