Khamis, 18 Januari 2018 | 1:30pm
GARBINE Muguruza muncul korban terbesar dalam Terbuka Australia setakat ini apabila tewas kepada Hsieh Su-Wei dalam dua set hari ini. - Foto EPA

Su-Wei tunjukkan Garbine pintu keluar

MELBOURNE: Juara Wimbledon, Garbine Muguruza muncul korban terbesar dalam Terbuka Australia setakat ini apabila tewas kepada pemain Taiwan, Hsieh Su-Wei dalam dua set hari ini.

Pilihan ketiga kejohanan yang berdepan kecederaan paha menjelang kejohanan itu, gagal menyaingi pemain nombor 88 dunia sebelum tersingkir 7-6 (7/1), 6-4 dalam tempoh satu jam 59 minit di Arena Rod Laver.

"Saya sedar dia akan memberikan saya banyak tekanan," kata Su-Wei yang berada di ranking nombor satu dalam acara beregu selama lima minggu pada 2014.

Garbine, juara Grand Slam dua kali bergelut sejak awal permainan untuk cuba mengejar pemain berusia 32 tahun yang kali terakhir menjulang gelaran perseorangan Jelajah WTA di Guangzhou pada 2012.

PEMAIN Taiwan, Hsieh Su-Wei menewaskan juara Wimbledon, Garbine Muguruza. - Foto REUTERS

Pemain Sepanyol meminta perlawanan ditangguhkan untuk rawatan pada kedudukan 2-5 pada set pertama dan selepas itu kelihatan kembali bertenaga.

Garbine berjaya mematahkan servisnya dua kali tetapi Su-Wei yang menjalin kerjasama dengan bekas pengarah kejohanan Terbuka Australia Paul McNamee, mara dengan tiebreak 7-1.

"Dia sentiasa berada di sisi saya dan memberi sokongan, ia cukup luar biasa," katanya yang akan bertemu pilihan ke-26 Agnieszka Radwanska dari Poland pada pusingan ketiga. - AFP

Berita Harian X