Rabu, 24 Januari 2018 | 9:17pm
PEMAIN beregu Malaysia,Chooi Kah Ming (kiri) dan Low Juan Shen masih belum berputus asa untuk merebut tempat beraksi pada pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, pada Mei ini. - Foto Nadim Bokhari

Beregu nombor 3 negara belum putus asa

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor tiga negara, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen masih belum berputus asa untuk merebut tempat beraksi pada pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, pada Mei ini biarpun gagal menempatkan diri dalam skuad negara ke Kejohanan Berpasukan Asia, bulan depan.

Mereka menunjukkan prestasi cemerlang apabila mara ke pusingan kedua Masters Indonesia di Jakarta selepas menewaskan beregu Denmark, Kasper Antonsen-Niclas Nohr 21-18, 19-21, 21-17, hari ini.

Kah Ming-Juan Shen kini berharap mampu mengekalkan prestasi konsisten bagi memikat hati ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit untuk tempat ke Piala Thomas.

"Sudah pasti kami kecewa kerana tidak terpilih ke Kejohanan Berpasukan Asia tetapi kami sedar keputusan bukan di tangan kami.

"Matlamat utama kami sekarang adalah untuk mengekalkan konsistens di atas gelanggang dan sekali gus menghasilkan keputusan yang positif. Kami tidak bermain dengan baik dalam beberapa kejohanan sebelum ini, jadi kami perlu bekerja keras.

"Kami meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 20 terbaik dunia. Hanya dengan itu kami boleh merebut tempat ke Piala Thomas atau Sukan Asia," kata Juan Shen.

Bagaimanapun, Kah Ming-Juan Shen berdepan cabaran sukar di pusingan kedua, esok apabila bertemu pilihan keempat dari Denmark, Mads Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding.

Sementara itu, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-David Daugaard 21-18, 21-13.

Bekas beregu nombor satu dunia itu akan menentang pemenang perlawanan antara beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Lee Yang dengan Wahyu Nayaka Arya Pangkaryanira-Ade Yusof Santoso dari Indonesia.

"Prestasi kami meningkat dalam setiap perlawanan. Kami bersedia untuk perlawanan seterusnya," kata V Shem yang percaya komunikasi dengan Wee Kiong sudah bertambah baik.

V Shem-Wee Kiong kembali digandingkan awal tahun ini dan berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dalam saingan Masters Thailand dan Masters Malaysia.

Di Bangkok dua minggu lalu, V Shem-Wee Kiong mara sehingga separuh akhir manakala muncul naib juara di Masters Malaysia Ahad lalu.

Berita Harian X