Ahad, 25 Februari 2018 | 8:06pm
PEMAIN perseorangan lelaki Malaysia, Leong Jun Hao tekad jadikan Kejohanan Kebangsaan sebagai tiket untuk sertai skuad Piala Thomas. - FOTO/FAIL
PEMAIN perseorangan lelaki Malaysia, Leong Jun Hao tekad jadikan Kejohanan Kebangsaan sebagai tiket untuk sertai skuad Piala Thomas. - FOTO/FAIL

Jun Hao tekad bukti kemampuan

KUALA LUMPUR: Penyandang juara badminton remaja Asia, Leong Jun Hao bertekad menjadikan Kejohanan Kebangsaan yang bermula, esok sebagai batu loncatan untuknya disenarai dalam skuad Piala Thomas negara.

Pemain berusia 19 tahun itu yang tersingkir di separuh akhir Terbuka Austria di Vienna, semalam berkata selain dirinya, dua lagi pemain perseorangan negara turut berpeluang untuk disenaraikan justeru menghasilkan persaingan yang sengit.

"Ia persaingan tiga penjuru di antara Iskandar (Zulkarnain Zainuddin), Soong Joo Ven dan saya bagi posisi perseorangan ketiga di Piala Thomas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

"Saya amat berharap untuk membuktikan diri saya di Kejohanan Kebangsaan pada minggu ini. Saya akan melakukan segala yang saya mampu dan menempatkan diri dalam skuad Piala Thomas."

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah pun mengesahkan pemain perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia sebagai pilihan pertama dan kedua bagi kejohanan berpasukan di Bangkok, Thailand pada Mei ini.

Tarikh tutup bagi pendaftaran berpasukan adalah pada April ini dan BAM menjangkakan akan menyenaraikan dua lagi nama.

Iskandar dan Joo Ven antara pemain yang membantu negara yang melayakkan diri ke Piala Thomas secara merit selepas mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar, awal bulan ini.

Mengulas prestasi semasanya, Jun Hao yang juga finalis di Kejuaraan Badminton Remaja Dunia, tahun lalu di Yogyakarta, Indonesia berkata: "Prestasi saya boleh dikatakan baik, tetapi masih ada banyak ruang untuk meningkat, terutama pukulan saya dan juga kekuatan fizikal.

"Saya juga sedikit kecewa apabila tewas dalam permainan straight set kepada Cheam Jun Wei di peringkat separuh akhir di sini. Mungkin kami sering berlatih bersama sehingga di tahap dia sudah dapat membaca corak permainan saya dengan mudah."

Jun Wei yang turut akan beraksi di Kejohanan Kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara minggu ini menewaskan Jun Hao 21-17, 21-14 di peringkat empat terbaik sebelum tewas 23-21, 21-14 kepada pilihan kedua kejohanan, P Kashyap dari India di pentas final.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X