Khamis, 1 March 2018 | 8:32pm
ISKANDAR calon terbaik beraksi Piala Thomas.

Iskandar buru tiket ke Piala Thomas

 

KUALA LUMPUR: Berdasarkan prestasi semasa, Iskandar Zulkarnain Zainuddin adalah calon terbaik untuk mengisi tempat perseorangan ketiga negara ke Piala Thomas di Bangkok, Thailand Mei ini.

Hari ini, pemain 27 tahun itu menghampiri gelaran kebangsaan keduanya apabila menewaskan rakan sepasukan Cheam June Wei 21-17, 21-9 untuk mara ke separuh akhir perseorangan lelaki Kejohanan Kebangsaan di Stadium Juara Bukit Jalil.

Sebelum itu di pusingan kedua, pemain kelahiran Johor itu mengatasi seorang lagi rakan sepasukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Chong Yee Han 21-14, 21-13.

Iskandar satu-satunya pemain daripada tiga calon (Iskandar, Soong Joo Ven dan Leong Jun Hao) yang bersaing merebut tempat perseorangan ketiga dalam skuad Piala Thomas.

Joo Ven dan Jun Hao, masing-masing tersingkir di pusingan kedua.

Ketika ditanya sama ada Kejohanan Kebangsaan sebagai medan terbaik merebut tempat ke Piala Thomas, memandangkan dia tidak akan ke Eropah bagi menyertai Terbuka Jerman dan All England bulan ini, Iskandar berkata: "Secara jujurnya, saya cuba untuk tidak memikirkan tentang Piala Thomas kerana saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri saya.

"Saya dikritik kerana aksi tidak konsisten, jadi saya rasa apa yang lebih penting sekarang ialah mengekalkan rentak baik ini, di mana saya juga berjaya mara ke separuh akhir Terbuka India bulan lalu.

"Saya tahu presiden kami (Datuk Seri Norza Zakaria) memaklumkan sebelum ini yang perebutan untuk tempat ketiga masih terbuka, tetapi saya hanya mahu bermain dengan baik. Sudah tentu jika saya terpilih, saya akan memberi persembahan terbaik untuk pasukan."

Setakat ini BAM sudah mengesahkan Datuk Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia sebagai perseorangan pertama dan kedua negara dalam skuad Piala Thomas kali ini.

Sementara itu pemain profesional dari Selangor, R Satheishtharan meneruskan rentak cemerlang dalam kejohanan ini apabila mara ke separuh akhir selepas mengejutkan pemain kebangsaan Soo Teck Zhi  21-12, 23-21.

Turut mara ke kelompok empat terakhir ialah Zii Jia dan pilihan kedua kejohanan Chong Wei Feng dari Kedah.

Zii Jia menewaskan pemain Sarawak Alfred Lau 21-7, 21-10 manakala Wei Feng mengakhiri cabaran pemain Pulau Pinang Yeoh Seng Zoe dengan kemenangan 21-15, 21-19.

Berita Harian X