Rabu, 7 March 2018 | 11:00pm
BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying tewas kepada gandingan Indonesia pada pusingan pertama Terbuka Jerman, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Pemain negara bermula hambar di Terbuka Jerman

KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara bermula hambar pada Terbuka Jerman di Mulhaeim, hari ini, apabila semuanya tewas di pusingan pertama.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal menepati ramalan apabila tewas kepada gandingan Indonesia yang layak menerusi pusingan kelayakan, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 19-21, 18-21.

Semalam, pilihan keempat, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut gagal melepasi pusingan pertama apabila tewas di tangan Niclas Nohr-Sara Thygesen dari Denmark 21-17, 13-21.

Hanya Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie yang menjadi wakil tunggal skuad beregu campuran negara layak ke pusingan kedua selepas mengetepikan gandingan adik beradik dari Ireland,  Sam-Chloe Magee 15-21 21-17 21-17.

Mereka akan bertemu pasangan Taiwan, Lee Yang-Hsu Ya Ching esok bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Dalam acara perseorangan wanita, juara kebangsaan yang baharu, Sonia Cheah turut terkandas di pusingan pertama selepas tunduk di tangan pilihan keempat dari China, Chen Yufei 11-21, 13-21.

 

"Saya gagal untuk menyesuaikan diri dengan perlawanan. Saya kecewa tetapi dalam masa sama akan kembali bangkit.

"Diharapkan saya dapat kembali menemui rentak permainan saya," kata Sonia ketika dihubungi hari ini.

Goh Jin Wei pula akan turut beraksi lewat malam ini berdepan Sayaka Sato dari Jepun.

Sementara itu, beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi ditunjukkan jalan keluar dipusingan pertama selepas tewas kepada pilihan keempat dari Jepun, Lee Jhe Huei-Lee Yang dari Taiwan 17-21, 21-15, 20-22.

Bekas pasangan nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan turun beraksi lewat malam ini bertemu pasangan Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe.

Berita Harian X