Khamis, 15 March 2018 | 9:57pm
BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon (kiri) dan Goh Liu Ying kecundang pada pusingan kedua saingan Seluruh England, sebentar tadi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Peng Soon-Liu Ying tersingkir

KUALA LUMPUR: Biarpun mempamerkan semangat juang, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, gagal mara lebih jauh dalam saingan Seluruh England apabila kecundang pada pusingan kedua, sebentar tadi.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 cuba memberi tentangan terhadap pasangan China, Zhang Nan-Li Yinhui, namun ia gagal menghalang pilihan kelapan kejohanan itu mencatat kemenangan 24-22, 22-20.

Kekalahan Peng Soon-Liu Ying turut menamatkan cabaran Malaysia dalam aksi beregu campuran apabila beregu nombor satu negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tersungkur seawal pusingan pertama semalam.

Ternyata banyak yang perlu dilakukan Peng Soon-Liu Ying apabila tersingkir buat kali kedua berturut-turut pada peringkat awal, apatah lagi dengan saingan Sukan Komanwel Gold Coast menanti bulan depan.

Minggu lalu, kedua-dua mereka tewas seawal pusingan pertama pada Terbuka Jerman di Mulheim.

Satu lagi gandingan yang turut membawa cabaran negara ke Australia adalah Soon Huat-Shevon, yang dipilih berbanding beregu berpengalaman Kian Meng-Pei Jing - yang mencatat kemerosotan prestasi kebelakangan ini.

Soon Huat-Shevon, bagaimanapun meraih motivasi tambahan apabila menjulang Terbuka Jerman, gelaran pertama mereka musim ini.

Sementara itu dalam acara perseorangan lelaki, juara bertahan dan bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei bakal menentang pemain Korea Selatan  Lee Dong Keun pada pusingan kedua.

Pemain lain yang bakal beraksi di Birmingham Arena adalah beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang akan menentang pasangan England Marcus Ellis-Chris Langridge, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang berdepan pilihan utama Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia dan juara remaja dunia 2015 Goh Jin Wei, akan berdepan pemain Jepun Aya Ohori pada pusingan kedua perseorangan wanita.

Berita Harian X