Ahad, 25 March 2018 | 7:28am
 REAKSI Federer selepas tewas ditangan pemain Australia, Thanasi Kokkinakis pada saingan Miami Masters. - Foto EPA-EFE
REAKSI Federer selepas tewas ditangan pemain Australia, Thanasi Kokkinakis pada saingan Miami Masters. - Foto EPA-EFE

Federer 'rebah' di Miami

MIAMI: Roger Federer tidak akan memburu gelaran Grand Slam ke-21 di Terbuka Perancis, dengan pemain 36 tahun dari Switzerland itu berkata dia akan melupakan musim gelanggang tanah liat.

Federer,  yang turut melakukan perkara sama tahun lalu, mengesahkan hasratnya itu selepas tewas 3-6, 6-3, 7-6 (7/4) kepada pemain pusingan kelayakan dari Australia Thanasi Kokkinakis di pusingan kedua Miami Masters.

"Saya memutuskan untuk tidak bermain musim tanah liat," kata Federer yang memenangi Grand Slam ke-20 dirinya di Terbuka Australia Januari lalu, tetapi bakal kehilangan ranking teratas dunia kepada Rafael Nadal selepas kekalahan mengejut itu.

Kokkinakis, di ranking ke-175 dunia, menyertai pusingan kelayakan atas tiket wild card dan menunjukkan semangat luar biasa ketika menewaskan Federer yang perlu mara sekurang-kurangnya ke suku akhir untuk mengekalkan gelaran nombor satu dunia.

Pemain 21 tahun dari Australia itu, yang bergelut dengan kecederaan di awal kariernya, muncul pemain ranking paling rendah berjaya menewaskan pemain nombor satu dunia sejak Francisco Clavet dari Sepanyol yang berada di ranking ke-178 menewaskan Lleyton Hewitt pada pusingan kedua di Miami pada tahun 2003. - AFP

Berita Harian X