X
Sabtu, 28 April 2018 | 10:39pm
BINTANG muda Greece, Stefanos Tsitsipas terus cemerlang apabila mara ke final kejohanan tenis Terbuka Barcelona. - Foto AFP
BINTANG muda Greece, Stefanos Tsitsipas terus cemerlang apabila mara ke final kejohanan tenis Terbuka Barcelona. - Foto AFP

Tsitsipas ke final Terbuka Barcelona

BARCELONA: Bintang muda Greece, Stefanos Tsitsipas terus cemerlang apabila mara ke final kejohanan tenis Terbuka Barcelona selepas melakar kejutan menewaskan pilihan kelima, Pablo Carreno Busta 7-5, 6-3 dalam aksi separuh akhir, malam ini.

Sebagai ganjaran, pemain berusia 19 tahun itu akan membuat perhitungan menentang sama ada pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal atau David Goffin yang akan beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Kali terakhir pemain Greec mara ke final saingan ATP adalah pada 1973 menerusi Nicholas Kalogeropoulos di Des Moines.

Tsitsipas adalah pemain paling muda mara ke final Terbuka Barcelona sejak Nadal melakukannya pada edisi 2005.

Tidak kira menang atau kalah pada aksi final, dia akan menjadi pemain Greece pertama berada dalam kelompok 50 terbaik dunia apabila kemas kini terbaru ranking dunia dikeluarkan Isnin ini.

Tsitsipas, semalam turut melakar kejutan apabila menumbangkan pilihan ketiga dari Austria, Dominic Thiem 6-3, 6-2.

Dalam pada itu, jika Nadal berjaya menewaskan Goffin, ia akan menjadi kemenangan ke-400 buat dirinya di gelanggang tanah liat dengan misi memburu gelaran ke-11 di Barcelona. - AFP

 

 

Berita Harian X