Ahad, 29 April 2018 | 7:26pm
PEMAIN Jepun, Kento Momota rai kejayaan muncul juara ejohanan Badminton Asia (BAC) di Wuhan, China, hari ini. - Foto AFP

Momota bakal gegar dunia

KUALA LUMPUR: Bintang muda Jepun, Kento Momota memberi amaran awal betapa dia sudah bersedia untuk mendominasi arena badminton dunia apabila muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Wuhan, China, hari ini.

Kejayaan pemain berusia 23 tahun itu hadir selepas dia mengejutkan pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016 dan juara dunia 2015, Chen Long dari China 21-17, 21-13 dalam aksi final.

Ia adalah gelaran pertama Momota yang menghuni ranking ke-17 dunia untuk saingan BAC dan pemain Jepun pertama menjuarai acara perseorangan lelaki sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 1962.

"Ia adalah kejohanan yang menakjubkan untuk saya apabila dapat menewaskan dua pemain utama dunia iaitu Chen Long dan (Datuk) Lee Chong Wei ketika separuh akhir.

"Pencapaian ini adalah sesuatu yang hebat untuk diri dan kerjaya saya," kata Momota selepas tamat aksi final bertemu Chen Long, hari ini.

Ia adalah kemenangan pertama direkodkan Momota ke atas Chen Long selepas tewas dalam empat pertemuan sebelum ini.

Sementara itu seperti diramal, pemain perseorangan wanita nombor dua dunia, Tai Tzu Ying dari Taiwan mempertahankan gelaran dimenanginya tahun lalu selepas menewaskan pemain China, Chen Yufei 21-19, 22-20 dalam aksi final.

Pemenang pingat emas beregu campuran Olimpik Rio 2016, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia tewas dalam aksi final acara berkenaan kepada Wang Yilyu-Huang Dongping 17-21, 17-21.

Saingan beregu lelaki menyaksikan gelaran juara menjadi milik pilihan pertama dari China, Li Junhui-Liu Yuchen yang menundukkan pasangan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 11-21, 21-10, 21-13.

 

Keputusan

Final

Perseorangan lelaki

Kento Momota (JPN) mn Chen Long (CHN) 21-17, 21-13

Perseorangan wanita

Tai Tzu Ying (TPE) mn Chen Yufei (CHN) 21-19, 22-20

Beregu lelaki

Li Junhui-Liu Yuchen (CHN) mn Takeshi Kamura-Keigo Sonoda (JPN) 11-21, 21-10, 21-13

Beregu campuran

Wang Yilyu-HUang Dongping (CHN) mn Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir (INA) 21-17, 21-17

Berita Harian X