Khamis, 3 Mei 2018 | 9:39pm
CHEN Tang Jie kian serasi dengan Chan Peng Soon. - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

Tang Jie secocok gandingan Peng Soon

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki, Chan Peng Soon-Chen Tang Jie yang lebih pakar dalam acara beregu campuran, berjaya melakar kejutan selepas menumpaskan pilihan keenam dari Indonesia, Wahyu Nayaka Arya Pangkaryanira-Ade Yusuf Santoso untuk mara ke suku akhir Terbuka New Zealand.

Walaupun Peng Soon sebelum itu beraksi dalam acara beregu campuran bersama Goh Liu Ying, dia tidak berdepan masalah untuk bersama Tang Jie mencatat kemenangan 21-19, 22-20 pada kejohanan di Auckland.

Menurut Tang Jie, kemenangan yang dilakar hari ini adalah hasil usaha sama dengan Peng Soon dan pemain senior itu juga tidak putus-putus berkongsi panduan bagaimana untuk berdepan lawan lebih berpengalaman.

"Dia seorang pemain senior yang kaya dengan pengalaman dan kelebihannya adalah mampu membaca permainan dengan pantas. Dia memang pemimpin yang bagus dan saya berasa selesa serta berbesar hati bergandingan dengannya," kata Tang Jie ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, Peng Soon juga sentiasa memberi sokongan dan idea ketika berada di dalam gelanggang, namun fokus utama mereka tetap ke arah beregu campuran.

Peng Soon-Tang Jie akan berdepan satu lagi pasangan Indonesia yang juga pilihan kedua, Berry Angriawan-Hardianto pada suku akhir esok.

Sebelum itu, Peng Soon-Liu Ying yang juga pilihan kelapan berjaya menumpaskan pasangan India, Shivam Sharma-S Ram Poorvisha 21-16, 21-14 dan mereka akan menentang Wang Chi-Lin-Lee Chia Hsin esok.

Sementara itu, beregu wanita Goh Yea Ching-Vivian Hoo tumpas di tangan Arisa Higashino-Kie Nakanishi dari Jepun 19-21, 17-21 manakala pemain profesional Liew Daren kalah kepada B Sai Praneeth dari India 18-21, 17-21.

Berita Harian X